Kedudukan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak menafikan kedudukan dan hak
bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan
menggunakan dana awam.
Kewujudan
Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159 (5) menetapkan perkenan
Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda.
Selain
itu, dalam Perkara ini, 'maksud rasmi' ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama
ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan termasuklah apa-apa maksud
sesuatu pihak berkuasa awam.
Akta
Bahasa Kebangsaan 1963/1967 juga menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
negara.
Malangnya,
apa yang berlaku sekarang, pencemaran dan penghakisan bahasa Melayu berlaku di
kalangan rakyat Malaysia terutama remaja dan belia Melayu di mana semua
perkataan disingkatkan dan perkataan yang tiada dalam kamus atau perbendaharaan
kata diwujudkan.
Memang
setiap bahasa mengalami perubahan atau pertambahan perkataan disebabkan
kewujudan alatan, suasana, perbuatan dan sebagainya yang perlu kepada perkataan
baru.
Namun,
penciptaan perkataan baharu itu biar tepat dan tidak ada perkataan sedia ada
yang boleh mengambil maksud perkataan yang baru digunakan itu.
Contohnya
perkataan 'viral' tidak wajar digunakan kerana perkataan 'tular' telah lama
wujud dalam senarai perkataan Melayu dan membawa makna yang sama dengan
perkataan 'viral' dalam bahasa Inggeris.
Bahasa
Melayu bukan baharu dikenali atau bahara digunakan oleh penduduk di Nusantara.
Bahasa Melayu adalah warisan sejak zaman dahulu dan telah 'dewasa' untuk
berperanan sebagai bahasa untuk semua aspek komunikasi.
Menurut
Sarjana Belanda, Francois Valentijn pada abad ke-16, 'Bahasa mereka bahasa
Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan
di seluruh kepulauan Melayu dan di negeri-negeri Timur; sebagai suatu bahasa
yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa
Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali atau
di Levent'.
Kemerosotan
dalam aspek mutu bahasa didapati berkaitan dengan kurang sensitifnya sebahagian
anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu baku dan ragam bahasa Melayu
rasmi, khususnya dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran
dan pendidikan.
Percampuran
ragam bahasa basahan (yang ditandai oleh fenomena bahasa rojak atau istilah
linguistiknya peralihan kod, bahasa SMS, bahasa sembang di internet dan
sebagainya) dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa
Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi.
Kewujudan
media sosial dan dunia internet tanpa sempadan menjadikan pengguna lebih selesa
untuk melakukan apa yang mereka rasa itu dapat difahami dalam komunikasi yang
dilakukan. Maka itu, tercipta perkataan ringkas dan ragam yang difahami sesama
mereka.
Perkataan
itu kemudian berkembang apabila 'difahami' secara meluas sehingga ia diterima
sebagai satu perkataan atau sebutan yang diterima umum pada masa kini, terutama
komunikasi melalui media massa.
Amat
malang sekali apabila di kalangan pemimpin juga menggunakan perkataan ringkas
dan terikut-ikut dengan ragam bahasa digunakan golongan remaja. Jangan kerana
hendak ringkaskan perkataan, maka ejaan yang digunakan lari dari aspek ejaan
ringkas yang biasa diterima umum.
Jangan
kerana hendak cepat dan mudah sehingga kita menggadaikan keindahan bahasa
Melayu. Semaju dan secanggih mana sekalipun peralatan yang digunakan, bahasa
tetap perlu dipertahankan sebagai warisan bangsa.
Adalah
diharapkan dengan penggunaan bahasa Melayu yang meluas dan bermutu tinggi,
rakyat Malaysia boleh berdiri, berfikir dan lebih bertamadun dalam mengorak
langkah membina negara yang berdiri sama tinggi dengan negara yang membangun
lain.
Bahasa jiwa bangsa.
No comments:
Post a Comment