Monday, 27 June 2022

MELATIH MINDA LEBIH KRITIS

 
Minda yang jumud dan beku mengurangkan fungsi minda. Hal itu samalah seperti kita menentukan had sempadan penggunaan minda. Sedangkan minda sebenarnya mampu berfikir tanpa had sempadan. Pergerakan berfikir berbentuk rawak yang tidak ada satu garisan khusus.

Allah menjelaskan perbezaan orang yang menggunakan akal fikirannya. Firman Allah bermaksud: “Katakanlah, apakah sama orang-orang yang mengerti dengan orang-orang yang tidak mengerti.” (Surah az-Zumar, ayat 9).

Kemampuan minda seseorang berbeza antara satu sama lain. Inilah memberi kelebihan apabila dilakukan percambahan minda melibatkan banyak individu. Gagasan minda yang digabungkan membawa kepada satu kekuatan minda yang terbaik.   

Krisis akal telah menjadi darah daging di kalangan masyarakat kita. Kita dikatakan Mat Jenin jika banyak berfikir dan merancang sesuatu yang memberi kesan kebaikan luar biasa.  

Malah, kita telah diingatkan agar tidak menduga lautan dalam jika kail hanya sejengkal. Begitu juga kita sentiasa disindir jika berusaha lebih dengan kata-kata, rezeki secupak tidak akan jadi segantang.  

Belajarlah berfikir secara minda terbuka.  Minda yang terbuka dapat membezakan antara betul dan salah, mencipta kemajuan dan bergerak ke arah lebih baik. Dengan cara itu juga mampu membudayakan pemikiran yang kritis.  

Hidup masyarakat hari ini mesti lebih baik berbanding generasi sebelum ini. Justeru, kita perlu lebih bijak mencipta sesuatu yang lebih memberi kebaikan.

Firman Allah dalam surah al-Anam ayat 50 bermaksud: “Katakanlah, apakah sama si buta dengan si celik, tidakkah kamu memikirkannya.”

Umumnya semua orang mahu menikmati kehidupan lebih baik, meneroka bakat dan potensi diri. Tetapi, disebabkan mengamalkan cara berfikir yang negatif, menyebabkan banyak sempadan diri wujud.  

Kita sendiri mengatakan ini tidak boleh dan itu tidak mungkin sedangkan belum mencubanya lagi. Sikap itu umpama kita takutkan hantu sedangkan sebenarnya hantu yang dimaksudkan tidak wujud.    

Banyak orang yang gagal kerana berada dalam zon selesa, tidak mahu merasai susah dan sakit untuk menebus kejayaan. Mereka berserah kepada takdir sebelum berusaha.

Maka, kegagalan itulah sebenarnya takdir yang mereka tentukan sendiri. Kelompok manusia seperti ini sebenar tidak menyedari bahawa diri mereka sudah gagal sebelum kegaglan sebenar berlaku.

Setiap kegagalan yang diderita perlu difikirkan punca dan sebabnya, apakah kesilapan dilakukan sehingga kita terlepas daripada mendapat apa yang menjadi cita-cita dan impian kita. Sesungguhnya kesilapan masa lalu adalah pengalaman berharga untuk masa depan.

No comments:

Post a Comment