Friday, 24 November 2017

HUBUNGAN UMNO PAS

Hubungan UMNO PAS nampak lebih mesra. Banyak perkara berkaitan kepentingan agama Islam dan Melayu disepakati bersama, biarpun masih tidak bergabung.

Hubungan UMNO dan PAS bermasalah disebabkan sikap PAS yang mendakwa UMNO mengamalkan semangat kebangsaan yang bertentangan dengan tuntutan Islam. Lebih parah lagi apabila membuat 'fatwa' orang UMNO keluar dari Islam atau tidak diterima sebagai Islam sebenar.

Contohnya, pada November 1979,  seorang pemimpin PAS, Mustaffa Abu Bakar telah mengeluarkan “fatwa” di Kampung Keruak, Hulu Besut, Terengganu yang mengatakan “sembahyang berimamkan orang Barisan Nasional (BN) tidak sah, sembelihan orang BN tidak boleh dimakan dan nikah yang dilakukan oleh jurunikah kerajaan tidak sah, kalau bersetubuh hukumnya zina dan kalau dapat anak, anak itu haram”.

PAS tidak pernah mempersoalkan kesahihan atau menafikan “fatwa” tersebut yang digunapakai oleh PAS hingga ke hari ini. Adakah “fatwa” ini Islamik?

Pada Ogos 1963, Dewan Ulama PAS telah mengeluarkan bahawa “orang-orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara menjadi kafir atau haram…” dan “sesiapa yang mengundi di atas parti-parti yang berkongsi itu menjadi haram, jika reda menjadi kafir, tetapi jika tidak reda menjadi haram sahaja.

Fatwa ini telah digunakan dengan seluas-luasnya oleh PAS sehinggalah Pilihan Raya Umum (PRU) 1974 apabila PAS menjadi keluarga BN.

Apabila PAS meninggalkan BN menjelang PRU 1978, sekali lagi “fatwa” tersebut digunakan secara berleluasa tanpa mengambil kira kesan serta implikasinya terhadap kesejahteraan umat Islam di Malaysia.

PAS tidak pernah menafikan “fatwa” tersebut. Bagaimanapun, menjelang PRU 1990, “fatwa” tersebut seolah-olah diketepikan oleh PAS.

Berita Harian 25 Mei 1990 melaporkan Nik Aziz berkata bahawa PAS memerlukan bantuan DAP dalam usahanya memenangi PRU akan datang (1990). Untuk itu, PAS akan berusaha menjelaskan konsep Negara Islam kepada DAP demi mengelakkan sebarang keraguan rakyat bukan Islam mengenai konsep tersebut.

Kenyataan ini melanggar “fatwa” PAS yang melarang kerjasama dengan bukan Islam. Mengapakah PAS tidak berani berkata tindakan Nik Aziz itu “jika reda menjadi kafir, tetapi jika tidak reda menjadi haram”?

Mengapakah Parti Semangat 46 (rakan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah) bekerjasama dengan DAP hukumnya halal sementara UMNO bekerjasama dengan pihak bukan Islam dikatakan haram?


Kalau dulu PAS sanggup menggunakan fatwa ini untuk mengkafirkan dan mengharamkan UMNO dan BN maka kali ini PAS tidak berpaling ke belakang lagi dengan mengambil DAP sebagai rakan sekutu subahatnya dalam menuju ke arah cita-cita politik peribadinya.

Bahkan, PRU 12 dan 13 menyaksikan calon bukan Islam dibenarkan bertanding atas tiket PAS dan dibenar menggunakan logo dan bendera parti itu.

Orang UMNO dan PAS adalah ahli Sunnah Wal Jamaah. Tidak ada kepercayaan atau ibadat orang UMNO yang berbeza atau bertentangan dengan ajaran Sunnah. Orang PAS pun demikian. Tokoh-tokoh agama UMNO tidak kurang terpelajar dalam agama Islam daripada tokoh-tokoh agama dan tok-tok guru PAS. Kepercayaan dan ibadat orang UMNO dan orang PAS adalah sama.

Tetapi PAS tidak mengakui keislaman orang UMNO sehingga sanggup menolak imam yang bukan daripada PAS, sanggup memisahkan jemaah di dalam satu kariah, sanggup mengasingkan kubur dan berbagai-bagai lagi amalan yang menidakkan persaudaraan dalam Islam.

Amat malang kerana politik PAS, orang Melayu/Islam yang bersatu padu dan bersaudara, yang semuanya ahli Sunnah Wal Jamaah telah dipecah dan diasingkan. PAS menolak perpaduan dan persaudaraan kerana kepentingan politik. Tindakan ini sedikitpun tidak berasaskan kepada Islam.

Nik Aziz pada PRK DUN Kuala Besut mengatakan sembahnyang orang UMNO tidak diterima. Fatwa ini sebenarnya difahami oleh penyokong Pas yang berpendidikan agama bahawa ia sekadar 'fatwa politik'. Manakala cakap-cakap nakal pula mengatakan sembahyang UMNO yang tidak diterima adalah merujuk kepada orang UMNO bukan beragama Islam yang berada di Sabah. Itulah dikatakan fatwa politik.

Semoga perkembangan terkini hubungan lebih mesra UMNO PAS dapat diterus demi agama, bangsa dan tanah air.

No comments:

Post a Comment