Saturday 26 May 2018

MENGAPA WANITA PERLU BERKERJA

Bilangan wanita bekerjaya semakin bertambah. Malah wujud fahaman di kalangan masyarakat moden hari ini mengatakan tidak ada bezanya antara lelaki dan wanita dalam tanggungjawab dan peluang mencari rezeki. Justeru wanita juga perlu berkerja atau mempunyai kerjaya.

Fenomena ini bertentangan dengan pandangan masyarakat dulu yang mengatakan wanita tidak sesuai berkerja mencari rezeki di luar rumah. Wanita dianggap hanya sesuai menjalankan tugas sebagai isteri di rumah. 

Pendapat menghalang wanita bekerja berdasarkan tafsiran sempit yang mengatakan tugas mencari rezeki adalah tanggungjawab hakiki suami sepertimana yang ditetapkan hukum agama.   

Kewajiban suami menyara isteri dan anak-anak tidak perlu dipersoalkan. Namun ia tidak pula bermakna wanita dilarang turut mencari rezeki. 

Malah, dalam konteks sekarang, hubungan suami isteri lebih menjurus kepada teman hidup antara dua individu yang saling memerlukan.

Isteri kini banyak membantu suami dalam menampung nafkah keluarga.  Kehidupan yang semakin kompleks memerlukan sesebuah keluarga menyediakan peruntukan kewangan yang lebih besar. Hal ini tidak mampu ditanggung oleh suami yang berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, dengan penglibatan sama isteri dalam usaha mencari rezeki, beban yang terpaksa ditanggung oleh suami menjadi lebih ringan. Kestabilan ekonomi keluarga kini banyak turut disumbangkan oleh isteri.

Hal ini selaras dengan perubahan masa yang mana wanita telah mendapat pendidikan yang setara dengan lelaki, berkebolehan, berkemampuan, dan mendapat peluang yang sama rata.

Sebenarnya, wanita tidak boleh mengharapkan lelaki sepenuhnya dalam memenuhi keperluan hidup. Banyak keadaan yang mana wanita perlu berusaha sendiri mencari rezeki.

Kebanyakan wanita merasakan bekerja mencari rezeki menjadi tanggungjawab mereka biarpun sudah bersuami. Bekerja tidak menghalang tugas sebagai isteri dan ibu. Jadi, wanita tidak perlu berhenti bekerja semata-mata telah berumahtangga dan mempunyai anak.

Pendapatan yang diperoleh dapat membantu menstabilkan ekonomi keluarga dan menikmati taraf hidup yang lebih baik. 

Banyak kebaikan isteri bekerja, terutama sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan yang tidak pasti.

Perhatikan nasib isteri yang ditinggalkan suami disebabkan perceraian maupun kematian suami, sedangkan mereka tidak mempunyai pekerjaan untuk mendapat rezeki menanggung perbelanjaan diri sendiri dan anak-anak. 

Memang patutlah jika isteri turut bekerja, itupun sekiranya ada pekerjaan yang sesuai dilakukan.

No comments:

Post a Comment