Tuesday 12 January 2021

POKOK HEMPEDU BUMI RAJA HERBA PAHIT

Ada perumpamaan ‘pahit macam hempedu’ yang bermaksud sesuatu yang sifatnya benar-benar pahit. Satu lagi perumpamaan menggunakan perkataan hempedu ialah ‘bagai hempedu lekat di hati’ yang bermaksud perhubungan erat yang tidak dapat diceraikan seperti persahabatan dan perkahwinan.

Ada sejenis herba dinamakan hempedu bumi yang diertikan sesuatu yang pahit dari bumi. Sedangkan cecair hempedu di badan dikeluarkan oleh hati dalam bentuk cecair ke dalam sistem penghadaman.

Rasa pokok hempedu bumi memang pahit. Sebab itu ia dikenali ‘raja herba pahit’. Sesiapa yang boleh mengunyah dan menelan daun hempedu bumi dianggap bahagian lidah yang merasa telah ‘rosak’. Begitulah gambaran betapa pahit rasa hempedu bumi.

Nama lain hempedu bumi ialah akar cerita, pokok cerita atau empedu tanah yang nama saintifiknya Andrographis paniculata dari keluarga Acanthaceae merupakan tumbuhan herba semusim.

Pokok hempedu bumi tumbuh menegak dan boleh mencapai ketinggian sehingga 60 – 90 cm dengan daunnya berbentuk bujur, runcing di hujung dan nipis di pangkal, berwarna hijau tua, licin dan tersusun secara bersilang.

Batangnya berbentuk segi empat dan berbuku serta mempunyai banyak dahan. Setiap buku mempunyai dua helai daun.

Bunganya kecil berwarna ungu yang menghasilkan buah atau lenggai memanjang bersaiz antara 25mm panjang 3 mm lebar. Lenggai berwarna hijau muda dan akan bertukar warna perang apabila matang dan akan pecah untuk penyebaran biji benihnya yang berwarna keperangan.

Hempedu bumi dikatakan berasal dari India dan Sri Lanka. Boleh didapati dalam pelbagai habitat, seperti dataran, lereng bukit, kawasan yang baru diteroka untuk dijadikan ladang dan kawasan pedalaman.

Selain di negara asalnya, hempedu bumi juga banyak ditanam secara meluas di Asia Tenggara serta mudah didapati di tanah gambut. Ianya ditanam bagi kegunaan perubatan secara tradisional. Keseluruhan tumbuhan seperti daun dan akar digunakan bagi tujuan perubatan untuk merawat jangkitan dan beberapa penyakit.

Hempedu bumi juga dikenali dengan nama Sambiloto atau Sambiroto di Indonesia,

Hempedu bumi kaya khasiat perubatan. Ia telah digunakan sejak turun temurun. Antara khasiat hempedu bumi ialah:
- Menurun darah tinggi.
- Merawat kencing manis.
- Merawat luka.
- Merawat selesema.
- Mengatasi cirit-birit, sembelit, gas usus dan sakit perut.
- Merawat penyakit kuning dan kerosakan hati akibat ubat-ubatan.
- Merawat kusta, pneumonia, tuberkulosis, gonorea dan sifilis.
- Merawat malaria, kolera, leptospirosis, rabies, sinusitis.
- Kurangkan jangkitan saluran pernafasan.
- Kurangkan sakit sendi (artritis)
- Agen antikanser, antihipertensi, antibakteria, antiviral, antimikrobial, antiparasitik, antivenom, antitrombotik, immunostimulan, antioksida dan antiinflammatori.
- Boleh dijadikan julap iaitu ubat pencuci perut.
- Merawat gigitan ular.
- Membantu kitaran haid yang tidak teratur.
- Meningkatkan pertahanan badan dan ciri melawan virus.
- Mengelak pengumpulan kolesterol pada salur darah.
- Melancarkan pembuangan air kecil.
- Meneutralkan toksin.
- Mengurangkan masalah gout.
- Meningkatkan prestasi buah pinggang.
- Mempercepatkan pembakaran lemak.

No comments:

Post a Comment