Saturday 12 October 2024

PUTERI SAADONG BERSEMAYAM DI GUNUNG RENG

 
Gunung Reng adalah bukit batu kapur yang terletak di Kampung Gunung, Batu Melintang, Jeli, Kelantan. Gunung Reng banyak kisah legenda berkaitan asal terbentuknya, juga dikaitkan dengan Puteri Saadong. 

Puteri Saadong memerintah Kelantan antara tahun 1667–1671, merupakan anak kepada Raja Loyor bin Raja Sakti yang memerintah di kawasan utara Kelantan berpusat di Kota Jembal.

Puteri Saadong diambil menjadi anak angkat kepada Cik Siti Wan Kembang, raja yang memerintah di kawasan selatan Kelantan.

Puteri Saadong dikahwinkan dengan sepupunya, Raja Abdullah. Dengan persetujuan Cik Siti Wan Kembang dan Raja Loyor, Puteri Saadong diangkat menjadi raja dan memerintah Kelantan secara keseluruhan berpusat di Kota Mahligai.

Kecantikan Puteri Saadong mendapat perhatian Raja Siam yang kemudian berhasrat untuk diperisterikan. Namun, ia tentunya ditolak oleh Puteri Saadong sehingga menyebabkan serangan pihak Siam ke atas Kota Mahligai.

Pada serangan pertama, Kota Mahligai dapat dipertahankan walaupun banyak rakyat yang terkorban. Raja Siam tidak berputus asa dan berusaha untuk melakukan serangan kedua. Disebabkan tidak mahu melibat lebih banyak rakyat yang meninggal, Puteri Saadong menyerah diri untuk dibawak ke Siam.

Apabila sampai di Siam, Puteri Saadong mampu mempertahankan maruahnya sehingga tidak mampu diperisterikan oleh Raja Siam yang mana berlaku beberapa kejadian aneh terhadap Raja Siam.

Setelah beberapa lama berada di Siam, Puteri Saadong yang gagal diperisterikan Raja Siam akhirnya dihantar pulang. Setibanya di Kota Mahligai, Puteri Saadong mendapati suaminya telah berkahwin lain sehingga membawa kepada pertengkaran dengan suaminya kerana tidak tepati janji tidak berkahwin lain. Akibat pertengkaran itu, berlaku tragedi Raja Abdullah mangkat kerana tertusuk cucuk sanggul.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa bahawa Puteri Saadong telah difitnah membunuh Raja Abdullah. Raja Abdullah pada hakikatnya sangat gembira dengan kepulangan Puteri Saadong. Raja Abdullah telah merancang untuk menabalkan semula Puteri Saadong sebagai Sultan Kelantan.

Perkara ini telah menyebabkan isteri Kedua Raja Abdullah tidak senang hati dan tidak tenteram kerana akan menurunkan martabat beliau juga. Semasa dalam perbincangan antara Raja Abdullah dan Puteri Saadong, tiba-tiba isteri kedua Raja Abdullah meluru masuk dan menikam Raja Abdullah. Isteri kedua Raja Abdullah terus keluar dari tempat perbincangan dan menjerit-jerit mengatakan bahawa Raja Abdullah telah dibunuh oleh Puteri Saadong.

Selapas tragedi itu, Puteri Saadong dikatakan berpindah bersemayam di Bukit Marak, Bachok. Tidak lama selepas itu berpindah pula ke Bukit Jawa, Selising, Pasir Puteh. Tidak pasti apa sebabnya, Puteri Saadong kemudian memilih untuk bersemayam di Gunung Reng,di  Batu Melintang, Jeli.

Tidak lama di Gunung Reng, Puteri Saadong kemudian berpindah pula bersemayam di Gunung Ayam, Dabong, Kuala Krai. Ada juga pendapat mengatakan Gunung Ayam itu terletak di Kuala Betis, Gua Musang.

Selapas itu, tidak ada lagi jejak Puteri Saadong dikisahkah di dalam leganda Puteri Saadong.

Kawasan kaki Gunung Reng berhampiran dengan pintu utama gua telah dibangunkan sebagai taman rekreasi yang dikenali Taman Rekreasi Cahaya Ibadah.

Di taman tersebut terdapat pintu gerbang lengkap dengan laluan pejalan kaki, dataran mini dan beberapa replika arca sejarah serta landskap berbentuk batuan. Antara replika yang terdapat ialah selendang Puteri Saadong, keris pusaka Puteri Saadong dan rantai jala emas Tok Tadoh.

Kawasan taman tersebut menjadi menjadi mercu tanda kepada yang bukan sahaja dikunjungi penduduk setempat, tetapi turut menjadi persinggahan kepada pengguna Jalan Raya Timur Barat, sebelum meneruskan perjalanan masing-masing.

Pengunjung boleh melakukan pelbagai aktviti selain beristirahat mandi manda di sungai, dan meneroka ke dalam gua.

Malah, ada pakej disediakan untuk memudahkan pengunjung menikmati keindahan Gunung Reng antaranya mengelilingi gunung itu dengan melalui 29 gua kecil, mendaki sehingga puncak berketinggian lebih 200 meter dan menerokai isi perut gua yang menawarkan pelbagai panorama menarik daripada bentuk-bentuk batu yang unik dan mempunyai hikayat tersendiri.



No comments:

Post a Comment