Monday, 4 November 2024

MASJID QUBA, JEJAK AWAL PERKEMBANGAN ISLAM

 
Masjid Quba merupakan masjid pertama yang dibina dalam sejarah Islam. Ia didirikan oleh Nabi Muhammad SAW setelah tiba di satu tempat yang dinamakan Quba dalam perjalanan menuju Madinah ketika peristiwa Hijrah.
 
Quba terletak kira-kira tiga kilometer dari petempatan Madinah pada ketika itu. Pada masa itu ia dianggap sebagai kawasan terpisah dari Madinah atau pinggir kota.
 
Setibanya di Quba, Rasulullah SAW tidak terus memasuki kota Madinah, sebaliknya tinggal selama empat hari di situ. Maka, dicadangkan oleh seorang sahabat agar dibina sebuah masjid untuk baginda berehat dan menunaikan sembahyang di situ.
 
Lalu, Rasulullah SAW meletakan batu asas pertama (batu di mihrab masjid) yang menghadap Baitulmaqdis di Palestin yang menjadi kiblat pertama umat Islam, sebelum bertukar ke arah Masjidil Haram di Makkah sepertimana sekarang. Tandaan awal kawasan masjid hanya dibuat dengan garisan di atas pasir.
 
Rasulullah SAW dan para sahabat telah menunaikan solat secara terang-terangan buat kali pertama di masjid ini. Hal ini kerana, umat Islam tidak dapat melakukan ibadah dan dakwah secara terbuka sebelum penghijrahan berlaku atas faktor keselamatan.
 
Sesuai dengan perkembangan semasa, Masjid Quba kini berkeluasan 13,500 meter persegi, cukup luas untuk menampung lebih daripada 25,000 jemaah yang datang pada satu-satu masa.
 
Masjid Quba kini dihubungkan dengan Masjid Nabawi bukan sahaja dengan jalan raya, bahkan laluan khas untuk pejalan kaki. Ini bagi memudahkan sesiapa yang ingin berjalan kaki antara keduanya. Masa berjalan kaki atau dua masjid tersebut sekitar 40 minit sehingga sejam mengikut kadar kelajuan masing-masing.
 
Masjid Quba bukan sekadar tempat untuk bersolat, ia adalah destinasi penuh keberkatan. Siapa yang berwuduk dari rumahnya lalu datang ke sini untuk solat, ganjarannya umpama pahala umrah. Jangan lepaskan peluang untuk berziarah dan merasai ketenangan yang luar biasa di sini!
 
Masjid ini dibina atas dasar ketakwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jangan engkau solat di masjid itu selama-lamanya (masjid yang dibina oleh orang munafik), kerana sesungguhnya masjid yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau solat padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (menyucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” 
(Surah at-Taubah, ayat 108)
 
 

No comments:

Post a Comment