Saturday, 8 March 2025

PERKHIDMATAN KERETA API KERAJAAN MUAR

 
Kereta Api Kerajaan Muar (KKM) atau Muar State Railway (MSR) tercatat dalam sejarah sebagai antara pengangkutan terawal di negara ini, menghubungkan bandar Muar hingga ke Sungai Pulai dekat Parit Jawa sejauh 22.5 kilometer yang beroperasi dari 1889 hingga 1925.
 
Sejarahnya bermula pada tahun 1888, apabila Maharaja Abu Bakar mengemukakan idea membina landasan kereta api yang menghubungkan bandar Maharani dan Parit Jawa di Muar. Landasan itu siap dibina pada tahun 1890.
 
Penyediaan pengangkutan ini dibuat berikutan kedudukan daerah ini semakin maju khususnya dalam bidang pertanian terutama dengan tanaman gambir, kelapa dan pinang bagi membawa keluar hasil tanaman kerana keadaan jalan perhubungan darat yang kurang baik, selain ancaman lanun sekiranya melalui laut.
 
Perkhidmatan KKM bukan sahaja menjadi nadi pembangunan ekonomi di daerah ini pada waktu itu, malah menjadi alat perhubungan masyarakat untuk ke bandar. Adanya KKM, ia banyak membantu membangunkan ekonomi di daerah Muar dan juga kawasan di Utara Johor.
 
Selain menjadi alat pengangkutan komoditi, KKM juga turut menyediakan beberapa gerabak khas untuk digunakan bagi membawa penduduk yang berulang alik dari bandar ke Parit Jawa dan sebaliknya.
 
KKM mempunyai lapan gerabak, lima daripadanya untuk penumpang dan selebihnya digunakan untuk tujuan mengangkut barang. Seperti kereta api biasa, gerabak penumpang ini dipecahkan kepada tiga kelas iaitu satu, dua dan tiga.
 
Semua penumpang dikenakan tambang lima sen bagi setiap batu perjalanan sehala. Bagaimanapun, pelajar yang bersekolah dalam aliran Inggeris dikecualikan tambang kerana kerajaan ketika mahu menggalakkan pendidikan dalam kalangan masyarakat di Muar.
 
Bagaimanapun sambutan terhadap perkhidmatan kereta api KKM ini mulai berkurangan apabila Jalan Abdul Rahman siap dibina pada 1918 yang menyebabkan beberapa kenderaan mula mengambil alih.
 
Selain itu, kos penyelenggaraan KKM termasuk landasan kereta yang tinggi juga menyebabkan kemerosotan pendapatan syarikat terbabit yang agak ketara berbanding penggunaan kenderaan lain.
 
Selain itu, kemerosotan harga komoditi termasuk getah juga menjadi penyumbang kepada kemerosotan pendapatan syarikat hingga akhirnya operasi KKM ditamatkan pada 1925.
 
Keterangan gambar - Kepala kereta api digunakan KKM dipamerkan di Tanjung Emas, Muar. 
Foto oleh - Syarafiq Abd Samad

No comments:

Post a Comment