Persahabatan ialah sebuah bentuk hubungan yang dibentuk
atas rasa sayang sesama antara manusia. Dalam konteks Islam, persahabatan itu
tentu sekali atas rasa keimanan dan mematuhi perintah Allah SWT.
Kita dapat melihat bagaimana persahabatan penduduk asal
Madinah yang dikenali sebagai golongan Ansar menerima saudara mereka dari
Makkah (Muhajirin). Mereka membuka hati dan rumah untuk Muhajirin, yang tiada
kaitan darah antara mereka dan tidak mengenali antara satu sama lain sebelum
ini.
Itulah dikatakan kesan keimanan yang menyerap ke hati dan
jiwa mereka, bukan kerana kepentingan tertentu tetapi nilai persahabatan
sebenar adalah suatu perkara yang sangat mahal, tidak boleh dibeli dengan wang
ringgit, emas atau perak.
Islam meletakkan persahabatan dan persaudaraan bukan kisah
kehidupan dunia yang hanya tamat selepas berlaku kematian tetapi ia berterusan
hingga ke akhirat. Rasulullah SAW ada menyebut mengenai kedudukan orang yang
membina persahabatan kerana Allah di akhirat nanti.
Sabda Baginda: "Sesungguhnya dalam kalangan hamba Allah
ada kelompok manusia yang mereka itu bukan nabi-nabi dan bukan pula orang yang
mati syahid. Nabi dan syuhada berasa cemburu melihat kedudukan kelompok itu di
sisi Allah. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu? Rasulullah
menjawab: Mereka adalah satu kaum yang berkasih sayang kerana Allah tanpa ada
pertalian darah, juga tidak ada harta yang diambil, demi Allah muka mereka
sungguh berseri-seri, mereka berada di dalam nur Allah, mereka tidak takut
ketika manusia takut dan tidak bersedih ketika manusia bersedih." (Riwayat
Abu Daud)
Kemudian baginda membaca firman Allah SWT bermaksud:
"Ingatlah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada
sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita." (Surah Yunus, ayat 62)
Persahabatan menjadi akrab jika sering melakukan amalan
ziarah dan bertanya khabar. Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang yang
mengasihi sahabatnya kerana Allah.
Rasulullah SAW bersabda: "Seorang lelaki telah
menziarahi saudaranya kerana Allah SWT, lalu Allah SWT menghantar kepadanya
seorang malaikat, lalu malaikat itu bertanya: Ke mana kamu hendak pergi? Lelaki
itu menjawab: Saya hendak menziarahi saudaraku. Malaikat bertanya lagi: Adakah
kerana sesuatu hajat kamu ke sana? Jawab lelaki itu: Tidak, akan tetapi aku
kasih kepadanya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku telah
diutuskan oleh Allah SWT mengasihi kamu kerana kamu mengasihi saudaramu kerana
Allah maka pastilah bagi kamu syurga." (Hadis riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment