Monday, 16 July 2018

BINA DAYA BEKERJA SEPANJANG HAYAT

Iklim pekerjaan sekarang tidak lagi menjamin seseorang pekerja dapat terus bekerja sepanjang hayat dengan satu tahap kemahiran atau kedudukan. Perubahan yang sering berubah dalam keperluan kemahiran tugas memerlukan seseorang mampu menimba seberapa banyak ilmu yang dapat disesuaikan dengan pelbagai persekitaran tempat kerja.

Justeru, setiap pekerja perlu bersedia menghadapi cabaran dengan memastikan dapat menyesuaikan diri terhadap persekitaran yang sentiasa berubah dalam era globalisasi kini.

Dengan kata lain, mengharapkan satu pekerjaan sepanjang hayat tidak menjamin masa depan bagi bakal pencari kerja, mahupun mereka yang sudah bekerja. Keperluan kemahiran dalam sesuatu tugas sentiasa berubah yang mana seseorang pekerja yang tidak mampu berubah dalam penguasaan kemahiran terkini tidak dapat bertahan lama dalam alam pekerjaan.

Dahulu tugas kerani hanya memerlukan kemahiran menaip dengan menggunakan mesin taip. Siapa yang ingin menjadi kerani perlu mengikuti kursus jurutaip. Sebab itu, pada beberapa dekad lalu, individu yang mempunyai kemahiran menaip telah cukup syaratnya untuk menjadi kerani.

Tetapi kini, kemahiran menaip menggunakan mesin taip telah menjadi satu sejarah. Banyak pejabat kini tidak lagi memiliki mesin taip. Fungsinya telah diambil oleh komputer. Dengan kata lain, setiap kerani yang menggunakan mesin taip dahulu kalau ingin terus kekal bekerja terpaksa menguasai kemahiran mengendalikan komputer pula. Itu sudah satu keperluan wajib. 

Itu contoh perubahan keperluan kemahiran bagi tugas kerani atau jurutaip. Hal yang sama juga untuk bidang-bidang lain. Dahulu mekanik kereta hanya bekerja menggunakan pemutar skru dan alatan asas lain. Tetapi kini, mekanik kereta kena mampu mengendalikan alatan komputer dan elektronik untuk melakukan tugas rutin harian.

Kita dapati biarpun tugas yang dilakukan nampak tidak berubah, tetapi hakikat sebenarnya memerlukan kemahiran semasa yang perlu disesuaikan dengan pelbagai persekitaran tempat kerja yang terkini. Oleh itu nilai tambah kepada kemahiran asal perlu sentiasa dilakukan untuk mampu melaksanakan tugas dengan berkesan.

Sebab itu, proses pembelajaran dan memperkayakan kemahiran secara berterusan amat penting dikuasai oleh setiap pekerja. Perkara ini amat penting untuk membolehkan mereka terus kekal bekerja.   

Syarikat dalam pelbagai sektor perlu bersaing untuk terus hidup sehingga ada yang mengambil tindakan mengurangkan bilangan pekerja bagi mencatat keuntungan lebih besar. Mereka tidak mahu terus menggaji pekerja yang tidak produktif untuk keperluan semasa.  

Kelulusan akademik di universiti hanya satu prasyarat ketika memohon pekerjaan. Sedangkan penilaian sebenar majikan terhadap pekerja adalah bergantung kepada produktiviti semasa. Pekerja yang tidak mampu memberi keuntungan maksima kepada organisasi akan ditamatkan perkhidmatan.

Zaman syarikat mengambil pekerja dengan kebolehan sederhana dan setia saja sudah berlalu. Sekarang ini sesiapa yang ketinggalan dalam meningkatkan produktiviti berkemungkinan berdepan dengan kehilangan pekerjaan. Sektor berorientasikan keuntungan hanya mengekalkan pekerja yang diyakini mampu memberi keuntungan kepadanya.

Manakala pekerja baru yang benar-benar diyakini berkebolehan menguasai skop tugas yang bakal dilakukan sahaja yang diambil bekerja. 

Negara perlu mempunyai tenaga kerja tempatan yang berilmu yang boleh menyesuaikan diri dengan perubahan yang dilakukan sektor tertentu. 

Sekiranya siswazah tempatan tidak mampu memenuhi keperluan pekerjaan masa kini, terutama yang ditawarkan syarikat besar dari luar negara yang beropeasi di negara kita, tempat itu akan diisi oleh tenaga kerja dari luar negara.

Justeru, siswazah tidak harus berpuas hati dengan kemahiran yang diperoleh ketika belajar di universiti. Kemahiran itu mungkin ‘tepat’ dan ‘betul’ ketika diajar di universiti. Sedangkan, keperluan ilmu baru perlu dikemaskini setiap masa untuk memenuhi keperluan tugas semasa.  

Siswazah yang memohon pekerjaan akan diuji dengan pengetahun dan kemahiran terkini. Banyak yang gagal untuk menjawab soalan yang terkini mengenai bidang kerjaya yang dipohon. Jadi, tidak hairanlah jika mereka gagal mendapat pekerjaan yang dipohon. 

Banyak pemohon kerja hanya bergantung kepada apa yang dipelajari di sekolah atau universiti untuk dipersembahkan semasa temuduga, sedangkan pihak penemuduga pula mengharapkan sesuatu yang lebih terkini. 

Perhatikan bagaimana pesatnya perkembangan dunia teknologi komputer. Setiap masa ada penemuan atau kaedah penggunaan terbaru mengenai teknologi komputer. 

Jadi, jika siswazah sains komputer tidak mahu terus menimba pengetahuan mengenai bidang itu selepas tamat pengajian, tidak ada apa lagi yang boleh dibanggakan dengan kelulusan yang dimiliki. 

Apa yang dipelajari dahulu hanya satu sejarah, sedangkan mereka perlu berdepan dengan kenyataan sekarang mengenai dunia teknologi komputer yang sentiasa berubah.

Ilmu dan kemahiran di universiti adalah asas untuk terus mencari sesuatu yang terkini. Keperluan tenaga kerja terhadap sesuatu bidang khusus memerlukan pekerja yang memiliki kepakaran tambahan dalam bidang berkenaan. Kepakaran itu biasanya perlu diperoleh ketika di luar masa pengajian formal.

Mereka yang berjaya dalam sesuatu bidang tidak bergantung kepada apa yang dipelajari di universiti semata-mata. Sebaliknya kemahiran sebenar bergantung bagaimana potensi diri dibina dalam kerjaya yang diceburi. 

Banyak pelajar cemerlang di universiti gagal menyerlah dalam bidang kerjaya masing-masing disebabkan terlalu fasif dalam mempertingkatkan keupayaan bersaing. Kejayaan akademik bergantung kepada teori, sedangkan kejayaan dalam kerjaya bergantung kepada keberkesanan perlaksanaan.

Sindrom malas membina potensi diri dengan cara terus belajar dan menimba kemahiran terkini menyebabkan banyak pekerja hilang keupayaan daya bekerja sepanjang hayat. Jikapun dapat terus bertahan dalam industri, mereka sekadar kekal di takat mula-mula bekerja dahulu. 

Negara memerlukan pekerja yang proaktif, inovatif dan prograsif dalam kerjaya masing-masing bagi memperkukuhkan kedudukan ekonomi sendiri serta meningkatkan jumlah pekerja berilmu yang diperlukan Malaysia.

No comments:

Post a Comment