Kerajaan Islam bukan berbentuk warisan atau
dimiliki oleh golongan tertentu saja. Setiap rakyat berpeluang menjadi pemimpin
berdasarkan kepada kebolehan dan kelayakan untuk menjadi pemimpin.
Pemimpin perlu dipilih secara sistem syura
atau pemilihan secara terbuka yang diadakan di kalangan orang Islam.
Sistem syura bukan saja ketika pemilihan
pemimpin, tetapi berlanjutan dalam segala urusan pentadbiran lain. Ini
kerana tugas sebagai pemimpin bukan mudah, melainkan ia menjadi tanggungjawab
bersama yang perlu dipikul untuk kebaikan semua rakyat.
Syura bererti bermesyuarat atau
perbincangan untuk menyelesaikan masalah atau mencapai persetujuan.
Perintah agar bermesyuarat dalam urusan
pentadbiran negara dapat dilihat dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan
bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan)
itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat
sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah.” (Surah Ali Imran, ayat 159).
Keperluan mesyuarat untuk mendapat
keputusan bersama diamalkan oleh Rasulullah SAW walaupun beginda mempunyai
kebolehan tertentu dalam membuat keputusan kerana dibimbing secara langsung
dari Allah SWT. Jelas sekali sunah itu memberi banyak kebaikan dan mempamerkan
bahawa tindakan bermesyuarat membawa kepada hasil yang baik.
Dalam pentadbiran negara yang besar dan
didiami banyak rakyat, kaedah syura seperti sistem demokrasi yang diamalkan
oleh Malaysia memperlihakan bagaimana setiap kawasan parlimen diwakili oleh
seorang ahli parlimen yang akan membawa permasalahan rakyat di kawasan
diwakilinya dan menyatakan sesuatu untuk kepentingan bersama.
Sesungguhnya, urusan kehidupan bernegara
wajib dijalankan secara syura bagi memastikan perjalanan pemerintahan berjalan
lancar.
Ibn Arabi berkata: “Mesyuarat adalah merupakan salah satu daripada usul agama dan juga sunah yang diamanahkan oleh Allah SWT. Ianya adalah satu kewajipan ke atas seluruh umat Islam semenjak zaman Nabi SAW dan seterusnya.”
No comments:
Post a Comment