Friday 1 June 2018

CARA BETUL GUNA LAMPU KECEMASAN HAZARD LIGHT

Lampu kecemasan (hazard light) adalah untuk kecemasan. Ia digunakan ketika kenderaan berhenti, bukannya ketika sedang bergerak. Bukan sama sekali digunakan ketika hujan. Ketika hujan, pasang lampu utama.

Penggunaan lampu kecemasan bertujuan memberi isyarat bahawa kenderaan dipandu sedang menghadapi masalah atau berhadapan bahaya yang mana pemandu perlu memperlahankan kenderaan sebelum berhenti.
Perkara asas yang perlu difahami di sini ialah nyalaan lampu kecemasan itu hendaklah semasa kenderaan berhenti dan tidak bergerak langsung.
Namun, terdapat segelintir pengguna 'kurang bijak' sesuka hati menggunakan lampu kecemasan, terutama ketika hujan lebat, juga tidak kurang yang menggunakannya ketika memandu secara berkonvoi.
Mungkin niat mereka untuk memudahkan kenderaan yang dipandu dilihat atau menarik perhatian ramai, namun yang pastinya penggunaan lampu kecemasan ketika hujan lebat serta ketika berkonvoi memang menyusahkan pengguna jalan raya lain.
Lampu kecemasan apabila suisnya diaktifkan akan berkelip secara serentak di kiri dan kanan. Justeru, akan timbul kekeliruan sama ada kenderaan terbabit sedang berhenti atau masih lagi berjalan di atas jalan raya.
Satu lagi masalah mungkin timbul dengan penggunaan lampu kecemasan adalah ketika kenderaan terbabit ingin menukar lorong. Pemandu di belakang sudah pasti keliru sama ada pemandu terbabit ingin ke kiri atau ke kanan.

No comments:

Post a Comment