Thursday 9 January 2020

HARAM PILIH PEMIMPIN BODOH SOMBONG

Menjadi pemimpin satu amanah yang besar. Jadi, dalam konteks di negara yang mengamalkan demokrasi, tugas pengundi menentukan siapa layak menjadi pemimpin. Kegagalan pemimpin menjalankan tanggungjawab adalah berpunca kegagalan pengundi memilih pemimpin yang baik.

Pemilihan tidak boleh didasarkan atas sentimen, emosi dan khabar angin sebaliknya berasaskan fakta sebenar.

Oleh sebab maslahah dipegang besar, maka perlu dipilih pemimpin beramanah, berakhlak dan bertatasusila luhur, selain memiliki visi dan matlamat jelas serta utuh dengan prinsip perjuangan.

Orang yang tidak beramanah dan tidak mahir, tetapi tetap mahu menggalas amanah itu pasti mempunyai niat serta keinginan tertentu.

Satu keperluan pengundi memilih pemimpin betul pada setiap peringkat untuk setiap bidang supaya amanah dipegang dilaksanakan baik.

Dalam hal ini Islam mempunyai kriteria menentukan dan memilih pemimpin. Misalnya perkataan ulil amr dalam surah al-Nisa’ ayat 29: “Wahai orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan uli al-amri di antara kamu,” yang ditafsirkan ulama sebagai pemimpin tertinggi dalam sesebuah negara.

Kehidupan manusia pada zaman ini semakin mencabar. Misalnya, perkembangan teknologi, khususnya media sosial turut mampu mempengaruhi persepsi manusia.

Penilaian atau perspektif manusia dibuat cukup dengan satu gambar atau beberapa minit video lalu ‘hukuman’ dijatuhkan.

Zaman ini maklumat beredar pantas dan hampir semua orang mahu membincangkan setiap isu walaupun mereka tiada keahlian.

Akhirnya ramai menjadi ‘pakar segera’ atau instant scholar. Apabila datang sesuatu isu, maka mereka beramai-ramai meluahkan pelbagai pandangan di media sosial meskipun ia lebih bersifat sentimen dan emosi serta bukan atas dasar ilmu.

Imam al-Ghazali mengkategorikan manusia kepada empat kumpulan. Kumpulan pertama, golongan yang sedar mereka tahu, kumpulan ini wajar dipuji kerana keilmuannya.

Kumpulan kedua tidak menyedari mereka tahu hingga perlu disedarkan dengan keilmuan mereka. Kumpulan ketiga, golongan maklum mereka tidak tahu, sekali gus mempunyai kesedaran untuk menuntut ilmu.

Bagaimanapun, kumpulan keempat tidak sedar yang mereka tidak tahu. Kelompok itu boleh dikatakan ramai pada masa kini, iaitu mereka bukan sekadar tidak tahu dengan kejahilan sendiri, tetapi berbangga dengan kejahilan.

Iistilah bodoh sombong sesuai dinamakan untuk kumpulan ini. Justeru, ramai mahu mengurus urusan umum tanpa sedar mereka tiada keahlian dalam urusan berkenaan.

No comments:

Post a Comment