Skim
cepat kaya sudah mengambil tempat dalam kehidupan semenjak sekian lama. Walaupun
telah banyak kali skim ini ditumpaskan dan didedahkan ‘perniagaan’ mereka,
tetapi masih ada lagi yang beroperasi serta mencari mangsa baru.
Skim cepat kaya ditawarkan kononnya sebagai skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan. Akan mendapat untung berganda dalam tempoh masa singkat dan dijamin tidak rugi. Peluang menjadi kaya berstatus jutawan dengan cepat.
Itulah ciri-ciri menarik dan menyebabkan orang mudah tergoda menyertainya dan akhirnya menjadi mangsa perangkap skim cepat kaya. Cita-cita ingin menjadi cepat kaya bertukar menjadi cepat kayap. Menyesal tidak tahu hendak buat apa.
Satu cara bagaimana skim ini menarik mangsa baru ialah dengan memanipulasi
pemikiran mangsa mereka. Cara penipuan sebegini telah lama digunakan dan
dipraktikkan oleh mereka yang suka mengambil kesempatan di atas orang lain.
Walaupun mereka telah didedahkan mengenai skim cepat kaya, masih ramai yang menjadi mangsa. Mengapa begitu? Berikut adalah beberapa punca yang menyebabkan ramai orang menjadi mangsa penipuan.
Kesan Halo ialah kecelaruan proses pemikiran yang berlaku kepada seseorang apabila dirinya berasa kagum dan terpengaruh dengan watak yang ditampilkan oleh orang lain. Halo ialah lingkaran berbentuk bulatan bercahaya di atas kepala seseorang, seperti gambaran malaikat yang diimaginasikan oleh sesetengah orang Barat. Halo sering dikaitkan dengan orang yang dianggap sebagai berperwatakan agama, hero, pejuang, dan sebagainya.
Dalam modus operandi skim cepat kaya, penganjur skim akan cuba mempengaruhi orang ramai dengan berperwatakan kemas, tampil bergaya, dan memakai barangan berjenama.
Bias konfirmasi ialah penerimaan maklumat yang bersifat berat sebelah dan hanya menyokong apa yang seseorang itu mahu percaya. Segala bukti yang berlawanan dengan kepercayaan yang sudah tertanam akan diketepikan begitu saja.
Apabila sudah terjerat dengan skim ini, kebanyakan mangsa menolak untuk menerima nasihat orang lain yang cuba menasihati mereka tentang bahaya skim tersebut.
Sindrom penafian ini juga berkaitan dengan bias konfirmasi. Apabila orang mula mempersoalkan tentang skim yang mereka sertai, para mangsa menafikan bahawa skim itu ialah skim cepat kaya.
Mereka akan cuba menafikan segala kepincangan yang berlaku kepada skim dengan pelbagai alasan. Apabila akhirnya skim itu benar-benar terkubur, mereka masih tidak insaf, malah menyertai skim penipuan yang lain pula.
Penganjur memanipulasi emosi mangsa dengan menjadikan seolah-olah skim ini satu peluang keemasan yang tidak patut dilepaskan. Ini menyebabkan mangsa tidak sempat berfikir panjang lalu terburu-buru melaburkan wangnya.
Penetapan Phantom ialah taktik yang digunakan oleh skim cepat kaya dengan menjanjikan keuntungan yang tertentu kepada orang yang menyertai skim mereka. Phantom bermaksud khayalan dalam benak fikiran, keuntungan yang digambarkan biasanya bernilai besar dan modal yang dilaburkan oleh mangsa pula dianggap kecil berbanding dengan keuntungan yang bakal diterima.
Keuntungan ini sebenarnya adalah keuntungan yang bersifat khayalan dan janji manis sehaja tetapi tidak disedari oleh mangsa yang telah dikelabui oleh penetapan phantom.
Rayuan bersifat autoriti ialah kesilapan pemikiran yang berlaku apabila autoriti digunakan untuk berhujah tanpa mempertimbangkan faktor-faktor lain.
Apa yang perlu diketahui, pengesahan autoriti sahaja belum memadai untuk mengesahkan sesuatu itu bukan skim penipuan. Ini kerana autoriti juga mungkin tersilap jika bidang itu bukan kepakarannya. Banyak faktor lain yang perlu diambil kira.
No comments:
Post a Comment