Tuesday, 9 February 2021

Situasi Covid-19 seperti melawan musuh di medan perang

Salah satu prinsip peperangan ialah fleksibel iaitu boleh diubah atau disesuaikan dengan mudah. Ini kerana dalam peperangan kita tidak dapat menjangka tindakan musuh dan perubahan-perubahan lain yang perlu dipertimbangkan dalam meneruskan misi sehingga berjaya.

Adakalanya, dalam meneruskan misi menghapuskan musuh dan menguasai sesuatu kawasan, banyak perancangan awal yang telah diarahkan kepada anggota untuk dilaksanakan, terpaksa diubah pada satu-satu masa yang mana arahannya akan diberikan oleh pegawai di medan.

Arahan baharu pegawai di medan mungkin mengarahkan anggota undur, sedangkan misi awal perlu dilakukan ialah mara. Dalam prinsip peperangan, undur atau berundur bukan bermakna kalah, tetapi ia sebahagian cara untuk mengatur taktikal seterusnya. Banyak sejarah peperangan telah membuktikan taktikal berundur telah memberi banyak kebaikan sehingga misi serangan seterusnya dapat dilakukan dengan jayanya.

Gambaran atau analogi peperangan itu sebenarnya sama dengan keadaan negara ketika berdepan dengan ancaman Covid-19 sekarang ini. Kerajaan dan rakyat sedang berjuang di medan peperangan menangai Covid-19 dan hakikat sekarang kita belum menang.

Jeneral yang dilantik untuk mengetuai misi peperangan melawan Covid-19 ini adalah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau dibantu dengan menteri, pegawai kanan kerajaan, anggota barisan hadapan dan seluruh rakyat.

Sepanjang setahun kita melawan Covid-19 ini pelbagai strategi dan taktik telah dilaksnakan. Sepanjang tempoh tersebut, tentu sekali telah banyak kali taktik ditukar mengikut kesesuaian semasa.

Musuh yang menyerang dalam pelbagai keadaan dan maklumat baharu tentang musuh sentiasa diperoleh dari pegawai risik dan pegawai di medan. Justeru, jeneral perlu merangka strategi baharu untuk memenangi peperangan atau setidak-tidaknya keadaan tidak menjadi lebih teruk.

Dalam peperangan, moral anggota tentera penting dijaga. Begitu juga dengan situasi negara sekarang. Moral dan kekuatan fizikal rakyat perlu dijaga. Petanda kekalahan dalam peperangan ialah apabila moral dan kekuatan tentera menurun dan hilang. Ia bukan sahaja menyebabkan mereka tidak mampu bertindak menyerang dan bertahan, bahkan lebih teruk lagi mungkin akan berpaling tadah.

Dalam memahami situasi melawan Covid-19 sekarang ini, rakyat jangan keliru dengan perubahan SOP. Sebab itu rakyat dinasihatkan sentiasa mengikuti perkembangan terkini yang disampaikan oleh jeneral. Sebarang pertukaran bukan dibuat suka-suka.  

Tidak dinafikan berlaku beberapa SOP PKP 2.0 yang mengelirukan pada peringkat awal kerana ianya berbeza dengan perlaksanaan PKP 1.0 pada tahun lepas.

Ini kerana PKP 2.0 kali ini harus disesuaikan dengan kepentingan dan keperluan untuk ekonomi rakyat tidak terhenti. Beberapa perkara harus diubah dan ditambah baik.

Dalam PKP 2.0 ini ianya lebih menumpukan kepada pematuhan SOP dan memperketatkan larangan Rentas Negeri dan Daerah. Rasional kepada larangan rentas sempadan ini ialah untuk mewujudkan kawasan, daerah atau negeri yang berstatus hijau dan status ini harus dikekalkan dengan perancangan MKN, KKM dan agensi-agensi lain untuk memastikan kita Malaysia mampu mengekang penularan sehingga tidak terkawal.

Usaha mengawal itu harus berfokus dan memastikan makin banyak kawasan yang hijau atau tanpa penularan baru atau kes baru maka kita boleh menumpukan operasi-operasi berkaitan di kawasan-kawasan kritikal dan berisiko tinggi khususnya negeri-negeri yang memiliki sektor pembinaan dan perkilangan yang tinggi.

Justeru SOP perayaan semua kaum harus diperketatkan termasuk melarang rentas daerah dan negeri. Sebelum ini Hari Raya Puasa dan Haji dirayakan dalam SOP yang sama dan ketat. Thaipusam dan Deepavali juga diraikan dalam keterbatasan SOP ketat walau ianya merupakan amalan ritual dan keagamaan kaum India.

Sambutan Tahun Baharu Cina juga sebagai perayaan yang harus melalui SOP ketat termasuk melarang “Makan Besar” dan ziarah pada peringkat awalnya. Tetapi ianya diberikan sedikit kelonggaran. Ketetapan dan larangan rentas daerah masih terpakai tetapi sedikit kelonggaran diberikan dengan meletakkan radius 10 km dibolehkan untuk berkunjung pada tarikh-tarikh perayaan tersebut tetapi tidak melebihi 15 orang pada satu-satu masa.

Ada sesetengah “orang politik” mengambil kesempatan memainkan sentimen menghasut menyatakan bahawa kerajaan membuat U-Turn dan flip-flop. Bukan soal u-turn atau flip-flop tetapi kerajaan mendengar teguran rakyat dalam keutamaan kerajaan untuk menjaga keselamatan rakyat dan bukan sahaja Cina tetapi India dan Melayu juga.

Ternyata pembangkang di negara kita tidak akan mampu bersama kerajaan dalam apa jua situasi. Dalam situasi genting sekarang ini pembangkang tetap berpolitik. Mereka ingin dilihat sebagai jaguh, sedangkan hakikatnya tidak ubah sebagai patung wayang kulit. Nampak hebat bertarung di layar, sedangkan ia digerakkan oleh tok dalang.

Amat mudah menjadi pembangkang. Hanya perlu berlakon tunjuk hebat. Komen dan pertikaikan apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan. Sentiasa timbulkan kekeliruan agar rakyat resah dan panik. Halakan isu kepada kerajaan dari kemarahan rakyat. Perlu adakan isu dan berita yang samar dan tidak benar. Semua salahnya akan dihalakan kepada kerajaan.

No comments:

Post a Comment