Monday 27 September 2021

SERBAN SEJENIS KAIN DILILIT DI KEPALA

 
Salah satu perhiasan kepala lelaki ialah serban. Serban ialah kain yang diikat di kepala. Perkataan atau nama lain serban ialah semutar.

Satu lagi maksud serban ialah sakit sengal-sengal tulang. Maksud itu merujuk kepada dialek Kelantan. Serban dalam dialek Kelantan (juga Terengganu) ialah kebas atau semut-semut.

Kembali kepada serban perhiasan kepala. Biarpun serban dan semutar membawa definisi sama iaitu kain yang diikat di kepala, namun dalam maksud yang lebih khusus ia membawa definisi yang berbeza.

Serban lebih dirujuk kepada kain lilit yang diikat di kepala oleh golongan haji, ustaz, pelajar pondok dan individu yang dikaitkan dengan peribadi patuh kepada ajaran Islam.

Manakala semutar pula digayakan ketika pergi ke kebun atau melakukan tugasan di luar rumah.

Pemakaian serban sering dipandang sinis oleh sesetengah pihak. Kononnya hendak tunjuk alim dan lebai.

Mengapa perlu ‘busuk hati’ bencikan kepada orang berserban. Kalau tidak suka pakai serban, janganlah ‘hina’ orang pakai serban.

Di Malaysia, serban adalah pakaian pelajar pondok, pelajar sekolah Arab, pelajar tahfiz, pelajar pondok, ustaz-ustaz dan guru-guru pondok. Serban juga dipakai oleh sesetengah jemaah untuk ke masjid dan surau.

Di Mesir, ulama Al-Azhar memakai serban gaya Azhari dengan dililit pada kopiah merah. Di Yaman, penuntut madrasah dan ulama memakai serban gaya Habaib atau Yamani.

Di Arab Saudi, kita jarang melihat pemakaian serban pada masa kini. Sekarang mereka banyak memakai shemagh dengan kopiah atau igal.

No comments:

Post a Comment