Friday 10 December 2021

FUNGSI PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

 
Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara. Ia adalah suatu kumpulan dokumen bertulis undang-undang dasar yang menentukan cara pemerintahan negara dijalankan. 

Ia menerangkan kuasa-kuasa yang dipunyai oleh pelbagai anggota negara, kedudukan, nama, peraturan, hak-hak yang dipunyai oleh orang yang diperintah dan perhubungan antara yang memerintah dengan orang yang diperintah.

Perlembagaan Persekutuan menjadi kerangka utama menerangkan mengenai sesuatu perkara dalam urusan bernegara. Sesuai dengan tarafnya sebagai teras dan kerangka utama, maka tidak ada undang-undang lain yang lebih utama dari apa yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.  

Malah, kedudukan dan jawatan serta kuasa yang termaktub di Malaysia bagi sesuatu jawatan adalah ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan. Dalam konteks bernegara, tidak ada kuasa lebih besar dari Perlembagaan Persekutuan hinggakan tidak ada undang-undang lain boleh mengatasinya. 

Profesor Dicey (dalam Tun Mohd. Salleh Abas, 1997) berpendapat bahawa undang-undang perlembagaan mengandungi dua prinsip sahaja, iaitu prinsip kedaulatan parlimen dan prinsip undang-undang.

Sebagai undang-undang utama di sebuah negara, perlembagaan mengandungi pelbagai peruntukan, antara lain Badan Perundangan iaitu Parlimen yang terdiri Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Badan Pemerintah seperti Jemaah Menteri, Badan Kehakiman dan lain-lain.

Perlembagaan juga mengandungi peruntukan-peruntukan lain seperti kenegaraan, kebebasan asasi, agama, bahasa kebangsaan dan sebagainya.

Manakala menurut Md. Bohari Ahmad (1997), perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua undang-undang asas negara. Perlembagaan wujud daripada kehendak keadaan semasa dan diasaskan atas kebolehan kerajaan untuk menjamin semua yang terkandung di dalam perlembagaan itu.

Jika undang-undang yang dikanunkan berlandaskan perlembagaan yang tidak dapat dijalankan atau hak yang dijanjikan di dalamnya tidak dapat ditunaikan, maka perlembagaan itu tidak bermakna.

Oleh itu, perlembagaan mestilah dipegang teguh dan seimbang dengan hasrat orang ramai. Yang nyata ialah perlembagaan bukan sahaja merupakan sebuah fikiran atau syor, tetapi merupakan undang-undang agung negara.

Kedudukan tertinggi Perlembagaan Persekutuan difahami berdasarkan Perkara 4(1). Dalam apa juga pembentukan undang-undang sama ada akta di peringkat kebangsaan mahupun enekmen dan ordinan di peringkat negeri, ia tidak boleh bertentangan dengan apa yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.  

Mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dengan sendirinya terbatal. Begitu juga tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, maka ia adalah menyalahi dan perlu dihentikan daripada terus diamalkan.

No comments:

Post a Comment