Friday 3 December 2021

WABAK PENYAKIT BERPUNCA KECUAIAN MANUSIA

 
Wabak penyakit adalah antara bala angkara kecuaian manusia. Sesungguhnya, setiap kejadian tidak berlaku dengan tanpa sebab, melainkan mengikut sunatullah yang telah ditetapkan atau berlaku secara yang diketahui puncanya. 

Allah SWT menurunkan bala penyakit bagi menyedarkan manusia agar tidak melakukan perbuatan menyalahi hukum, tabie alam dan undang-undang. Semua perbuatan yang mendatangkan bala mempunyai kaitan dengan perbuatan yang dilarang. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada seseorang Islam yang ditimpa sesuatu yang menyakitkan, iaitu penyakit atau lainnya, melainkan Allah gugurkan dengan sebab itu dosa-dosanya, sebagaimana pokok menggugurkan daunnya (pada musim tertentu).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Islam melarang semua bentuk pebuatan yang mendatangkan keburukan, biarpun sekecil mana perbuatan itu. Islam tidak berkompromi membenarkan perbuatan buruk atas alasan ia perkara kecil atau biasa dilakukan di kalangan ahli masyarakat.     

Biarpun kecil, kesannya mungkin besar. Akibatnya, manusia perlu menanggung segala bentuk bala akibat perbuatan sendiri. Wabak penyakit tidak tersebar dengan sendiri, melainkan melibatkan unsur kecuaian manusia. 

Sikap tidak mementingkan kebersihan, mengambil makanan berbahaya, tidak mematuhi peraturan kawalan penyakit, melakukan perbuatan dosa dan tidak mensyukuri nikmat Allah SWT adalah antara punca berlaku wabak penyakit. 

Manusia biasanya lupa nikmat sihat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia, iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang.” (Hadis riwayat Bukhari).

Kehidupan ini penuh dengan cubaan yang menguji ketakwaan dan keimanan. Hanya hamba yang benar-benar yakin kepada janji Allah SWT berjaya menghadapi setiap ujian dengan tenang. Allah SWT mengenakan lebih banyak ujian bertujuan memberi lebih banyak kebaikan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, Dia akan memberi musibah kepadanya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Orang bersabar dan reda terhadap ujian mendapat balasan besar. Hadis yang diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Jika kamu sabar, bagi kamu syurga.”

Wabak penyakit adalah satu ujian terhadap manusia. Kejadian itu memberi peringatan dan menguji sejauh mana penerimaan terhadap apa yang berlaku terhadap diri dan masyarakat.  

Orang beriman menganggap wabak penyakit mempunyai hikmah disebaliknya. Semakin banyak ujian dihadapi memberi peringatan supaya lebih menghampirkan diri kepada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment