Di Malaysia, sambutan Maulidur Rasul SAW
adalah merupakan salah satu acara rasmi kerajaan yang disambut setiap
tahun sama ada di peringkat persekutuan dan negeri sesuai dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan
Malaysia.
Sambutan turut diadakan di peringkat
daerah, mukim dan kampung. Malah, pihak kementerian, jabatan, agensi, swasta,
institusi pengajian dan keluarga turut meraikan sambutan yang cukup bermakna
itu.
Sambutan bukan sekadar untuk memperingati
hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, malah ia menjadi wadah terbaik dalam
menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah
Rasulullah SAW.
Memperingati kelahiran Nabi Muhammad adalah
manifestasi kecintaan kepada insan termulia sepanjang zaman.Sewajarnya baginda
mendapat pengiktirafan secara simbolik atas nikmat agama dan panduan hidup yang
disebarkan oleh baginda kepada seluruh manusia.
Kelahiran Rasulullah membawa bersama
membawa rahmat tidak terhingga. Ini dijelaskan dalam firman Allah yang
bermaksud: "Kami tidak mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk
menjadi rahmat kepada alam sejagat." (Surah al-Anbiya, ayat 107)
Sirah Rasulullah SAW penuh dengan tauladan
untuk diikuti dan dijadikan panduan hidup. Antara yang menjadi contoh
terbaik ialah sikap Rasulullah SAW dalam menjadi contoh ketua keluarga dan
suami. Rasulullah SAW memiliki 'pakej lengkap' dalam semua aspek
kehidupan.
Kedudukan Rasulullah SAW sebagai insan
istimewa turut diiktiraf oleh bukan Islam. Ahli Astrofizik berbangsa Yahudi
Amerika Syarikat iaitu Michael H.Hart telah menerbitkan sebuah buku pada tahun
1978 bertajuk "The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in
History".
Buku itu terjual hampir 500,000 naskhah
pada masa itu ekoran beliau menamakan Nabi Muhammad SAW yang dikatakan sebagai
Pengasas Islam di tempat pertama dan tertinggi mengatasi tokoh-tokoh yang
lain.
Kehebatan dan ketokohan baginda bukan
sahaja dalam aspek penyebaran nur Islam semata-mata seperti Rasulullah iaitu
pesuruh Allah SWT. Malah meliputi semua aspek, bagindalah seorang nabi dan
rasul, pemimpin, panglima, imam, suami, bapa, rakan atau sahabat dan pelbagai
lagi.
Ia bertepatan dengan penghormatan oleh Allah
SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi
diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa
ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia
pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan
senang)". (Surah al-Ahzab, ayat 21).
Sesungguhnya keagungan Nabi Muhammad SAW tidak
dapat diukur dan dinilai melainkan Allah. Apa yang pasti, baginda adalah insan
terpilih di kalangan umat dan kehadiran baginda adalah rahmat bagi sekalian
alam.
Allah berfirman maksudnya: "Katakanlah
(Muhammad) dengan rahmat Allah dan kurnia-Nya hendaklah mereka
bergembira". (Surah Yunus, ayat 58).
No comments:
Post a Comment