Monday 2 September 2024

CABARAN TUGAS GURU HADAPI KERENAH MURID

 
Peranan dan tanggungjawab mendidik serta melahirkan pelajar berjaya menjadi misi seorang guru. Pun begitu, cabaran tugas guru bukan mudah, lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan pelajar yang mempunyai 1,001 kerenah.
 
Lagi tinggi dedikasi guru, lebih hebat cabaran yang hadapi. Sifat lemah lembut guru boleh bertukar menjadi “ganas” semata-mata untuk menjalankan tanggungjawab mendidik dan membentuk pelajar menjadi modal insan berjaya.
 
Kadangkala ada pelajar ‘memboikot’ guru seperti tidak melakukan kerja sekolah dan ia salah satu cabaran seorang guru yang perlu ditangani dengan baik.
 
Meskipun terdapat pelajar tidak mendengar kata, melawan cakap guru-guru dan sebagainya namun kerana tugas dan tanggungjawab, guru perlu tabah dan memujuk mereka untuk terus fokus belajar.
 
Guru sekarang memang stres dan pastinya lebih stres apabila jadi guru disiplin. Perangai sesetengah pelajar memang menguji kesabaran.
 
Cabaran menjadi semakin parah apabila ada ibu bapa yang turut besar kepala dan mempertahankan sikap buruk atau kesalahan anak masing-masing. Ibu bapa pergi serang guru dan saman guru sudah menjadi perkara yang tidak mengejutkan lantaran ia sudah kerap kali berlaku.
 
Apapun yang berlaku, guru perlu tetap kena sabar. Sebab itulah apabila marah, jangan bertindak. Nanti teremosi. Bertindak dengan tujuan untuk mendidik dan usah berlebih.
Susah menjadi guru pada era hari ini. 

No comments:

Post a Comment