Wednesday 7 August 2024

BUKAN ISLAM BUAT SURO

 
Hari Asyura atau hari kesepuluh bulan Muharam merupakan tarikh penting dan bersejarah kepada umat Islam. Malah pada hari tersebut juga disunatkan bagi umat Islam berpuasa bagi menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT. 

Pada hari Asyura juga terdapat pelbagai peristiwa besar yang berlaku di masa lampau seperti peristiwa penciptaan langit dan bumi, bulan dan bintang, begitu juga diciptakan pada hari Asyura al-Arasy dan al-Kursi serta syurga.
 
Mengadakan aktiviti memasak bubur Asyura untuk diagih kepada golongan keluarga, fakir, miskin dan masyarakat setempat telah menjadi adat dan tradisi masyarakat Islam di Malaysia.
 
Ada yang mendakwa bahawa amalan ini disandarkan kepada kisah Nabi Nuh dan umatnya ketika dilanda badai sebagai ibrah dan pedoman, namun kisah ini tidak terdapat nas yang sahih yang dinyatakan dalam al-Quran atau hadis Baginda Nabi SAW dan ia merupakan kisah yang diceritakan oleh ulama sirah.
 
Ketika ada di kalangan umat Islam sendiri mempertikaikan kewajaran mengadakan program membuat bubur asyura atau buat suro, di Kelantan aktiviti tersebut telah menjadi tradisi yang turut dilakukan oleh penganut agama lain.
 
Di FB Beng Khieu ada catatan: “3 bangsa yang kacau syuro hari ni. Siam, Cino dan India. Tok Penghulu Batu Jong kata tahun ni buat 3 kawah.
 
Mereka menjadikan tradisi itu bukan atas alasan agama, tetapi dengan niat melakukan sesuatu yang mendatangkan kebaikan untuk semua.
 
Mereka yakin bahawa kerja gotong-royong memasak suro dapat mengeratkan hubungan sesama mereka. Membentuk semangat tolong menolong dan saling hormat menghormati. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.
 
Apabila suro sudah masak, lalu ia diagihkan kepada semua yang terlibat, juga kepada mereka yang selayaknya mendapat agihan tersebut. Dapat makan suro sesuatu yang cukup istimewa di kalangan masyarakat Kelantan.
 
Begitulah uniknya budaya hidup di Kelantan.
 
Kredit gambar – Beng Khieu

No comments:

Post a Comment