Friday, 14 February 2025

SEJARAH HUBUNGAN PAHANG – JOHOR – RIAU

 
Dengan bantuan Potugis, Sultan Alaudin Riayat Shah III (1597 - 1615) dari Johor telah menabalkan anaknya sendiri iaitu Raja Bujang (1615-1617) sebagai Raja Pahang yang baharu.

Bermula dengan penabalan Raja Bujang ini, maka Pahang dikatakan berada dalam wilayah Johor. Penabalan Raja Bujang sebagai Sultan Pahang ini telah menyebabkan Sultan Pahang yang asal iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah (1614-1615) kehilangan hak untuk mentadbir Pahang. Namun, Sultan Alauddin tetap menjalankan pentadbiran Pahang dari tempat pengasingan.

Sultan Iskandar Muda Acheh sangat marah apabila mengetahui Sultan Alaudin Riayat Shah III Johor menandatangani perjanjian perdamaian dengan Portugis walhal Sultan Johor itu baharu pulang dari Acheh untuk berbincang mengenai cara menyerang Portugis di Melaka.

Oleh itu, Acheh telah menyediakan satu angkatan perang yang besar dan telah bertindak menyerang Batu Sawar pada tahun 1615 Masihi dan berjaya menawan Sultan Johor iaitu Sultan Alaudin Riayat Shah III (1597-1615). Baginda telah dibawa ke Acheh dan dibunuh di sana. Pemerintahan Kerajaan Johor seterusnya dipegang oleh Sultan Abdullah Ma’ayat Shah.

Pada tahun 1618 pula, Acheh telah bertindak menyerang Pahang dengan kekuatan seramai 17,000 anggota tentera. Tujuan utama serangan ini adalah untuk mengusir Sultan Pahang yang pro-Portugis iaitu Raja Bujang daripada takhta Pahang.

Ini kerana, Acheh bimbang jika Raja Bujang akan menjadi penghalang kepadanya untuk mengalahkan Portugis di Melaka. Bagaimanapun, Raja Bujang berjaya lari ke Lingga dan terus tinggal di sana.

Walaupun begitu, bekas Sultan Pahang iaitu Sultan Ahmad Shah II (1590-1592) dan anaknya Raja Mughal berjaya di tawan oleh Acheh dan dibawa ke sana.

Selepas kemangkatan Sultan Iskandar Muda Acheh, maka Raja Mughal dari Pahang telah menggantikan baginda untuk menjadi pentadbir Acheh yang baharu. Baginda telah memakai gelaran Sultan Iskandar Thani.

Semasa pemerintahan Sultan Iskandar Thani, baginda telah menganggap Pahang sebahagian daripada jajahan takluk Acheh kerana ayah baginda iaitu Sultan Ahmad Shah II pernah menjadi Sultan Pahang selama 2 tahun sebelum digulingkan oleh Sultan Abdul Ghafur Muhiuddin Shah (1592-1614).

Namun Sultan Abdul Jalil Shah III atau Raja Bujang dari kerajaan Johor turut menuntut Pahang kerana baginda juga pernah menjadi Sultan Pahang sebelum terpaksa melarikan diri akibat diserang oleh tentera Acheh. Oleh itu, berlaku konflik berpanjangan antara Johor-Acheh untuk berkuasa di Pahang bahkan dengan bantuan daripada Portugis, Johor pernah bertindak menyerang Pahang.

Selepas kemangkatan Sultan Iskandar Thani, permaisurinya yang bernama Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Syah (1641M-1657M) telah mengambil alih pemerintahan Acheh.

Pada waktu inilah Acheh menjadi semakin lemah dan Johor telah menggunakan hujah adat Pahang, yang mana si isteri tidak boleh mewarisi hak suaminya dalam pemerintahan. Oleh itu, sejak itu Acheh terpaksa melepaskan haknya ke atas Pahang dan mulai dari situ maka Pahang telah menjadi sebahagian daripada Empayar Johor-Pahang-Riau.

Namun begitu, hanya semasa pemerintahan sultan ke-15 Johor iaitu Sultan Mahmud Shah III (1761M-1812M) baharulah Pahang diserahkan kepada Bendahara Johor iaitu Bendahara Tun Abdul Majid sebagai kawasan pegangan namun jika diteliti Pahang bukanlah kawasan pegangan semata-mata tetapi lebih kepada sebuah negeri yang diberikan kepada Bendahara untuk menjadi pentadbir atau Raja.

Maka dari situlah gelaran Raja Bendahara mula digunakan. Bendahara Johor pada waktu itu ialah bendahara kepada seluruh empayar Johor namun dalam masa yang sama baginda juga merupakan seorang Raja jika di Pahang iaitu salah satu wilayah dalam empayar Johor.

Penyerahan Pahang kepada Bendahara ini sebenarnya sebagai langkah mengambil hati kerana pada waktu itu berlaku pertembungan hebat antara Bugis-Melayu dalam istana Johor.

Pahang pada waktu itu bukanlah Pahang yang ada sekarang kerana Pahang pada waktu itu meliputi kawasan yang lebih luas iaitu sehingga kawasan Sedili Besar (sekarang Johor).

Sedili Besar telah diserahkan kepada Johor oleh Raja Bendahara Tun Mutakhir sebagai galakan kepada Johor untuk membantu baginda menghadapi perang saudara Pahang.

Pada tahun 1853, Pahang telah mengisytiharkan autonomi daripada Johor dan pada tahun 1881, Pahang telah berdiri sebagai negeri sendiri selepas Raja Bendahara Siwa Raja Tun Ahmad telah mengangkat dirinya sebagai Sultan Pahang yang pertama dalam era moden.

Sumber – Internet.

Gambar lama tanpa kapsyen.

No comments:

Post a Comment