Namun
jika tidak diatasi secara bijak, permulaan kecil itu boleh berlarutan menjadi
perbalahan besar dan ada yang berterusan ke akhir hayat. Hal ini perlu mendapat perhatian semua pihak
untuk mengatasinya. Jangan pandang mudah perkara yang boleh memecah belahkan
masyarakat.
Hidup
bermasyarakat umpama keluarga besar yang mana semua ahli keluarga perlu
berperanan menjamin keutuhan semangat kekeluargaan, mengelak perasaan marah,
saling bermaafan dan mementingkan semangat tolong menolong sebagai sendi
kehidupan yang membawa kesejahteraan.
Masalah
kecil dapat diselesaikan dengan mudah jika dapat menahan perasaan marah dan
mudah memaafkan di antara satu sama lain. Kedua-dua sifat itu tanda keimanan yang mana Allah mencintai sesiapa
berbuat kebaikan serta menghalang daripada berlaku kejadian tidak baik.
Firman
Allah bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain,
Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan.” - (Surah Ali Imran, ayat 134).
Amalan
permusuhan dan perpecahan tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada pihak
yang terlibat. Semakin lama permusuhan
berlangsung, lebih banyak kerugian dan penderitaan terpaksa ditanggung.
Allah
memberikan nikmat kebahagiaan hidup melalui ikatan persaudaraan yang baik. Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat
103 bermaksud: “Berpegang teguhlah kamu dengan tali (agama) Allah dan jangan
kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat
Allah dahulu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, lantas Allah
menjinakkan hati kamu dan jadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara.”.
Perselisihan
dan bercerai berai sesama Islam akan menyebabkan kekuatan umat Islam lemah yang
membawa kerugian sesama sendiri sehingga berlarutan kejadian pembunuhan dan
kemusnahan harta yang banyak. Keadaan
sedemikian memudahkan musuh Islam mengambil kesempatan untuk memusnahkan umat
Islam.
Sebarang
masalah perlu diatasi dengan muafakat dan bersabar bagi mengelak daripada
hilang terus kekuatan yang sudah terbina sebelum ini. Perbuatan saling menyalahkan pihak lain tidak
akan menyelesaikan masalah, bahkan semakin kusut dan tiada titik
penyelesaian.
Firman
Allah bermaksud: “Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu
suka berselisih faham kerana ia akan menyebabkan perpaduan dan kekuatan kamu
hilang dan hendaklah kamu bersabar. Sesungguhnya Allah berserta orang yang bersabar.” - (Surah al-Anfal,
ayat 46).
No comments:
Post a Comment