Tuesday 26 June 2018

BUAH DI LUAR PAGAR MILIK SIAPA

Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan. Persoalannya, adakah buah cempedak yang berada di luar pagar itu masih menjadi milik pemilik pokok itu? 

Adakah pemilik tanah di sebelah pagar yang mana buah cempedak itu berada berhak terhadap buah di luar pagar itu?

Persoalan buah atau hasil pokok yang dahan atau bahagian batang sudah memasuki kawasan tanah orang lain jadi polimik atau dibahaskan kedudukan siapa lebih berhak kepada buah atau hasilnya. 

Ada pendapat mengatakan ia masih milik pemilik pokok yang ditanam di bahagian tanahnya. Manakala, pendapat lain mengatakan buah itu sudah menjadi hak pemilik tanah yang bahagian dahan itu berada.

Pandapat ulama mengatakan, buah itu masih kekal hak pemilik pokok itu biarpun dahan atau bahagian sudah memasuki kawasan tanah orang lain. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis.

"Dari Samurah bin Jundab. Beliau memiliki sederet pohon kurma yang tumbuh di kebun milik salah seorang Ansar. Di tempat tersebut, orang Ansar tadi tinggal bersama keluarganya. Samurah sering memeriksa pohon-pohon kurmanya, termasuk pohon kurma yang tumbuh di tanah si Ansar. 

"Tentu saja, keberadaan Samurah mengganggu dan menyebabkan orang Ansar tersebut berasa terganggu. Orang Ansar menawarkan kepada Samurah agar menjual pohon kurma tersebut kepadanya. Samurah menolak. Si Ansar meminta Samurah memindahkan pohon kurmanya. Samurah juga menolak tawaran tersebut. 

"Akhirnya, dia melaporkan permasalahan ini kepada Nabi. Nabi meminta Samurah untuk menjual pohon kurmanya. Apabila cadangan itu ditolak, Nabi meminta Samurah untuk memindahkan pohon kurmanya. 

"Ketika permintaan kedua ini ditolak, Nabi mengatakan kepada Samurah, “Hadiahkan pohon kurma tersebut kepadanya, dan untukmu ada ganjaran demikian dan demikian.” 

"Nabi sebutkan hal yang disukai oleh Samurah. Samurah tetap menolak, maka Nabi mengatakan, “Engkau ini memang pengganggu!” 

"Nabi lantas berkata kepada Si Ansar, “Pergilah! Silakan tebang saja pohon kurmanya!” (Hadis riwayat Abu Daud, no. 3636; hadis ini dinilai lemah oleh Al-Albani)

Jelas sekali, pokok kurma itu tumbuh di tanah milik orang lain, namun masih dianggap sebagai milik penanamnya. Tidak dijelaskan sama ada semasa menanam itu tanah itu milik siapa. 

Dapat difahami bahawa pokok tamar itu memang berada di tanah milik orang lain. Namun, ia masih dianggap hak penanamnya. 

Jadi, apa lagi jika yang berada di tanah milik orang lain itu hanya dahan atau rantingnya, maka hak hasil daripada pokok itu adalah kepunyaan pemilik pokok itu.

Persoalan timbul, kalau begitu kita boleh menanam pokok di kawasan berhampiran sempadan tanah atau pagar kita agar bahan dan rantingnya berada di bahagian tanah orang lain yang memberi keuntungan ‘kawasan’ untuk kita.

Ingatlah, dalam mendepani permasalahan itu, Islam memberi panduan yang jelas dalam membentuk hubungan kejiranan. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa yang benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah mengganggu tetangganya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Kalau sengaja melakukan perbuatan mengganggu tetangga, maka itu tanda sikap buruk dan tahap keimanan yang tidak jitu.

Untuk menyelesaikan atau memberi keadilan kepada jiran tetangga, Islam menggariskan peraturan dalam soal dahan atau ranting pokok masuk ke kawasan tanah orang lain.

Jika jiran yang kawasan tanahnya dimasuki dahan pokok orang lain dan dia berasa terganggu atau mengalami kesan buruk akibat keadaan itu, maka dia boleh memberitahu kepada pemilik pokok itu mengenai perkara itu.

Pemilik pokok itu sepatutnya memotong dahan itu atau melakukan sesuatu yang mengubah agar dahan pokok tidak lagi mengganggu jiranya. 

Jika pemilik pokok tidak mahu memotongnya atau melakukan sesuatu berkaitan aduan jirannya itu, maka jirannya boleh memotong sendiri dahan pokok itu. Pemilik pokok tidak boleh menuntut ganti rugi atau mempersalahkan jiran yang memotong itu.

Syekh Abdurrahman as Sadi mengatakan, “Jika dahan atau ranting pohon menjalar ke tanah atau udara orang lain, dan orang tersebut tidak merelakan keberadaan dahan tersebut, maka pemilik pohon diperintahkan untuk memangkas dahan tersebut. 

"Jika dia tidak mahu maka pemilik tanah menekuk dahan tersebut tanpa memotongnya, jika memungkinkan. Jika tidak boleh disingkirkan kecuali dengan dipotong maka pemilik tanah boleh memotongnya, dan dia tidak memiliki kewajiban untuk memberikan ganti rugi terkaitan pemotongan dahan tersebut."

Pemilik pokok perlu menilai erti kejiranan. Apakah hanya ingin menikmati sedikit hasil atau manfaat dari pokok itu, sanggup bersengketa dengan jiran. Bertimbang rasa dengan jiran. Fikirkan apakah perasaan kita jika dahan pokok jiran pula yang masuk ke bahagian tanah kita?

Dalam soal pokok buah-buahan, elok jika halalkan sahaja buah yang berada di luar pagar kepada jiran itu. Setidak-tidaknya dapat dianggap sebagai ‘ganti rugi’ kepada masalah yang terpaksa dialami oleh jiran seperti masalah sampah daun yang gugur.

Gambar: Buah nangka 

No comments:

Post a Comment