Thursday 5 July 2018

MEDINA AZAHARA BUKTI KUASA ISLAM DI BARAT

Tinggalan kota khalifah Arab Muslim dari zaman pertengahan, Medina Azahara berhampiran Cordoba antara bukti kegemilangan kuasa Islam pernah bertapak di Barat. Kota yang pernah terbiar itu kini telah disenarai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pemilihan oleh Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO satu pengiktirafan kepentingan khazanah tinggalan Islam. UNESCO menyifatkan tapak Moor pada abad ke-10 berkenaan memberikan pengetahuan mendalam terhadap zaman keemasan peradaban Islam Andalusia.

Selepas mencapai kemakmuran beberapa tahun, kota istana menakjubkan yang menjadi ibu kota de facto Andalusia atau Muslim Sepanyol itu, terbiar sepanjang perang saudara yang menamatkan khilafah berkenaan pada 1009-1010.

Kota itu dibina sebagai simbol kekuasaan untuk menyaingi khilafah di Baghdad tetapi hanya bertahan tidak sampai seabad sebelum musnah dalam penentangan yang menamatkan khilafah di Cordoba pada awal abad ke-11. Tinggalan kota itu dilupakan hampir 1,000 tahun sehingga ia ditemui semula pada awal abad ke-20.

Tapak itu menjadi harta karun kepada ahli arkeologi kerana menampilkan komposisi perbandaran yang lengkap termasuk jalan, jambatan, sistem pengairan, bangunan, elemen hiasan dan objek harian.

Kejayaan umat Islam terdahulu perlu dijadikan pemangkin kepada membina semangat jatidiri umat Islam sekarang. Islam pernah mendahului penganut agama lain, dan ini membuktikan Islam bukan agama mudur atau menyebabkan penganutnya menjadi mundur.

Islam mengajar umatnya untuk melakukan usaha terbaik merebut peluang kejayaan di dunia yang membawa kepada kebahagiaan di akhirat. Apa sahaja yang dilakukan di dunia dalam kerangka mentaati perintah Allah mendapat pahala kebaikan. Allah memerintahkan manusia menjadi khalifah di muka bumi dengan memakmurkan alam ini.

No comments:

Post a Comment