Friday 20 May 2022

KEDUDUKAN BAHASA MELAYU SEMAKIN RAPUH

 
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.

Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159 (5) menetapkan perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda.

Selain itu, dalam Perkara ini, 'maksud rasmi' ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 juga menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Malangnya, apa yang berlaku sekarang, pencemaran dan penghakisan bahasa Melayu berlaku di kalangan rakyat Malaysia terutama remaja dan belia Melayu di mana semua perkataan disingkatkan dan perkataan yang tiada dalam kamus atau perbendaharaan kata diwujudkan.

Memang setiap bahasa mengalami perubahan atau pertambahan perkataan disebabkan kewujudan alatan, suasana, perbuatan dan sebagainya yang perlu kepada perkataan baru.

Namun, penciptaan perkataan baharu itu biar tepat dan tidak ada perkataan sedia ada yang boleh mengambil maksud perkataan yang baru digunakan itu.

Contohnya perkataan 'viral' tidak wajar digunakan kerana perkataan 'tular' telah lama wujud dalam senarai perkataan Melayu dan membawa makna yang sama dengan perkataan 'viral' dalam bahasa Inggeris. 

Bahasa Melayu bukan baharu dikenali atau bahara digunakan oleh penduduk di Nusantara. Bahasa Melayu adalah warisan sejak zaman dahulu dan telah 'dewasa' untuk berperanan sebagai bahasa untuk semua aspek komunikasi.

Menurut Sarjana Belanda, Francois Valentijn pada abad ke-16, 'Bahasa mereka bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di negeri-negeri Timur; sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali atau di Levent'.

Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa didapati berkaitan dengan kurang sensitifnya sebahagian anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan pendidikan.

Percampuran ragam bahasa basahan (yang ditandai oleh fenomena bahasa rojak atau istilah linguistiknya peralihan kod, bahasa SMS, bahasa sembang di internet dan sebagainya) dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi.

Kewujudan media sosial dan dunia internet tanpa sempadan menjadikan pengguna lebih selesa untuk melakukan apa yang mereka rasa itu dapat difahami dalam komunikasi yang dilakukan. Maka itu, tercipta perkataan ringkas dan ragam yang difahami sesama mereka. 

Perkataan itu kemudian berkembang apabila 'difahami' secara meluas sehingga ia diterima sebagai satu perkataan atau sebutan yang diterima umum pada masa kini, terutama komunikasi melalui media massa.

Amat malang sekali apabila di kalangan pemimpin juga menggunakan perkataan ringkas dan terikut-ikut dengan ragam bahasa digunakan golongan remaja. Jangan kerana hendak ringkaskan perkataan, maka ejaan yang digunakan lari dari aspek ejaan ringkas yang biasa diterima umum. 

Jangan kerana hendak cepat dan mudah sehingga kita menggadaikan keindahan bahasa Melayu. Semaju dan secanggih mana sekalipun peralatan yang digunakan, bahasa tetap perlu dipertahankan sebagai warisan bangsa.

Adalah diharapkan dengan penggunaan bahasa Melayu yang meluas dan bermutu tinggi, rakyat Malaysia boleh berdiri, berfikir dan lebih bertamadun dalam mengorak langkah membina negara yang berdiri sama tinggi dengan negara yang membangun lain.

Bahasa jiwa bangsa. 

No comments:

Post a Comment