Monday 16 May 2022

TAMAN LAUT TUNKU ABDUL RAHMAN, SABAH

 
Taman Laut Tunku Abdul Rahman Kota Kinabalu Sabah mengandungi lima gugusan pulau yang terletak berhampiran antara satu sama lain. Pulau tersebut ialah Pulau Sapi, Pulau Manukan, Pulau Mamutik, Pulau Gaya dan Pulau Sulug, masing-masing tidak kurang indahnya dengan pasir memutih serta laut jernih.

Taman Tunku Abdul Rahman meliputi dengan keluasan keseluruhan 4,929 hektar serta jaraknya dari Kota Kinabalu antara tiga hingga lapan kilometer.

Pulau-pulau ini merupakan tempat perlindungan pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan termasuk sejenis burung yang paling ganjil iaitu Burung Tambun atau Megapode yang kelihatan seakan-akan seekor ayam tetapi mempunyai kaki yang besar dan mengeluarkan bunyi seperti kucing.

Syarikat Borneo Utara British pada tahun 1882 membuka pusat perniagaan di Pulau Gaya sebelum bandar raya Kota Kinabalu dibuka secara rasminya dan diisytiharkan sebagai ibu negeri Sabah.

Pada 1974, Pulau Gaya dan Sapi diwartakan sebagai Taman Laut Tunku Abdul Rahman dan diikuti Pulau Manukan, Mamutik dan Sulug pada 1979.

Pengunjung berpeluang melakukan aktiviti snorkeling dan aktiviti di pantai seperti berkelah sambil menikmati pemandangan yang indah. Para pelancong juga berpeluang mengembara merentasi hutan melalui denai-denai kecil di Pulau Gaya dan Sapi.

Antara tarikan utama di Pulau Sapi pada waktu siang ialah aktiviti pantai seperti snorkeling, selain produk terbaiknya iaitu 'zipline flying fox' atau bergayut dan meluncur daripada Pulau Gaya ke Pulau Sapi.

Bergayut sambil meluncur sejauh kira-kira 250 meter itu pasti memberi pengalaman hebat kepada pengunjung yang mencubanya.

Zipline flying fox di Pulau Sapi dikatakan antara yang terpanjang di dunia bagi kategori dari pulau ke pulau. Alang-alang sudah sampai ke Pulau Sapi, jangan lepaskan peluang untuk mencuba aktiviti lasak mendebarkan itu.

Jangan bimbing untuk mencubanya. Perasaan takut akan hilang dalam beberapa saat apabila melihat pemandangan indah sambil meluncur selama kira-kira 40 saat.

Untuk ke sini pengunjung boleh menempah atau menyewa bot dari Terminal Feri yang terletak di Jesselton Point Waterfront di pusat bandar Kota Kinabal dan berhampiran dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Perjalanan mengambil masa kira-kira 20 minit.

No comments:

Post a Comment