Monday, 4 January 2021

CARA PENENTUAN PERMULAAN KALENDAR HIJRAH

Permulaan kalendar Islam atau tahun Islam yang dikenali Tahun Hijrah berdasarkan kepada peristiwa hijrah Rasulullah dari Makkah ke Madinah. Rasulullah SAW meninggalkan Makkah menuju Madinah pada hari Khamis akhir bulan Safar. 

Pada ketika itu, masyarakat Arab telah mempunyai kalender berdasarkan bulan-bulan tahun Hijrah. Bagaimanpun, tidak ada kiraan tahun, sebaliknya berdasarkan peristiwa tertentu.

Contohnya, Tahun Gajah adalah merujuk kepada tahun di mana Abrahah menyerang kota Makkah dengan tentera bergajahnya.

Kiraan tahun Hijrah mula digunakan pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab. Penggunaannya tercetus apabila Abu Musa al-Asyri yang menjadi Gabenor Kufah mencadangkan agar Umar menulis tarikh pada surat-surat yang dikirimkan kepada beliau bagi memudahkan mengetahui surat mana yang terlebih dahulu ditulis.

Lanjutan itu, Umar telah mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan tentang penggunaan tarikh yang dapat digunakan atau pengenalan kepada umat Islam. Banyak pendapat dikemukakan oleh para sahabat mengenai perkara itu.   

Akhirnya mereka sepakat menetapkan tarikh Islam bermula dari Hijrah Nabi Muhammad SAW ke kota Madinah. 

Umar menjadi khalifah pada tahun 13 Hijrah. Ini bermakna, apa-apa tarikh atau peristiwa yang berlaku sebelum 13 Hijrah adalah ‘diselaraskan’ tarikhnya mengikut tarikh Hijrah walaupun pada ketika kejadian itu masih belum ada kalender Hijrah.

Perlu juga dinyatakan bahawa 1 Muharam yang dikira permulaan tahun baharu Hijrah bukanlah tarikh permulaan hijrah Rasullulah SAW.

Sebaliknya, masa Rasulullah SAW meninggalkan Makkah menuju Madinah ialah pada hari Khamis akhir bulan Safar. 


No comments:

Post a Comment