Sunday, 7 June 2026

BEKERJA SEBAGAI IBADAT

 
Dalam Islam, pekerjaan bukan sekadar sumber rezeki, bahkan merupakan satu bentuk ibadah dan pengabdian kepada Allah SWT. Justeru, setiap amanah yang dipikul hendaklah dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab, berteraskan nilai pangabdian kepada Allah, tanggungjawab dan melakukan dengan bersungguh-sungguh.  

Manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, yang bersifat sebagai pelaksana dan penegak kepada agama serta bersiyasah dengannya. Kita memegang sejumlah amanah dan tanggungjawab yang diperintah dan ditaklifkan kepada kita.

Justeru, dalam melayari bahtera kehidupan, soal makan minum, tempat tinggal dan kenderaan untuk menyampaikan kita ke satu-satu tempat adalah memerlukan harta dan kewangan yang kukuh.

Antara cara untuk mendapatkan harta adalah melalui pekerjaan. Dengan sebab itu, dalam al-Quran al-Karim terlalu banyak perintah untuk kita bekerja seterusnya mencapai kehendak manusiawi yang kita miliki.

Terlalu banyak bentuk pekerjaan yang boleh kita lakukan. Yang penting adalah halal dan tidak bertentangan dengan syariat sama ada kita sebagai peniaga, tokoh korporat yang besar, petani, pekebun, penternak, nelayan, pertukangan, mengambil sebarang upah, penjawat awam, bekerja di sektor swasta, maka semuanya adalah digalakkan.

Begitu juga pembetulan niat setiap kali kita bekerja biarlah diniatkan kerana mengikut apa yang diperintah oleh Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Setiap perkara harus yang dilakukan oleh seorang Mukmin dengan unsur niat, ia bertukar menjadi ibadat. Namun, perkara haram tetap haram hukumnya walau bagaimana suci sekalipun niat si pelaku.

Islam tidak merestui sesuatu yang haram itu dijadikan wasilah kepada tujuan yang mulia. Ini kerana, Islam menekankan kemurnian matlamat dan cara pada masa yang sama.

Syariat Islam tidak menerima sama sekali prinsip, matlamat menghalalkan cara ataupun mencapai kebenaran melalui kerja-kerja batil. Perkara haram itu tidak menjadi satu kebaikan biarpun dengan niat untuk kebaikan.   

Sebaliknya, Islam mewajibkan umat mencapai kebenaran melalui jalan yang benar biarpun depan dan kesukaran.

Sesiapa yang mengumpul duit melalui amalan riba, rasuah, hiburan yang haram, perjudian, ataupun apa-apa amalan yang terlarang, dia melakukannya dengan tujuan membina sebuah masjid ataupun melancarkan program kebajikan, niatnya yang murni itu tidak mampu memberi kebaikan kepada dirinya.

No comments:

Post a Comment