Saturday, 16 April 2022

BILAL MASJID DISENANGI REMAJA

 
Dia bukan siapa-siapa, dia hanya seorang bilal masjid, bukan artis maupun ahli politik. Bukan juga orang yang sangat terkenal di kampung atau selebriti ikutan ramai. Tapi dia ada peminat tersendiri kerana sikapnya yang sangat menyantuni remaja di masjid kampung kami.

Kematiannya ditangisi dan saya sendiri amat sebak dan sayu walaupun kami bukannya rapat sangat. Hingga saat menulis ini pun air mata masih tak kering lagi.

Bagi remaja lelaki yang biasa ke masjid pasti ingat Pakcik Azmi ni. Kalau dengan budak remaja dia sangat mesra dan rapat. Kalau dia suruh budak-budak ni menolong, cepat jer mereka akur.

Ramai remaja lelaki yang datang ke masjid dan terpaut hati ke masjid kerana sifat ramahnya dengan mereka. Mereka lepak kat masjid, tidur kat masjid, belajar kat masjid sebab Pakcik Azmi ni rajin melayan kerenah mereka.

Semalam pada petang Khamis malam Jumaat, beliau dijemput Allah dalam bulan Ramadan dan malam tadi hampir 1000 jemaah tarawih solat jenazah untuknya. Dan selepas solat subuh pagi tadi, sekali lagi dibuat solat jenazah untuknya. Subhana'Allah. Mulianya dia ketika masih di dunia, Allah dah mudahkan urusannya buat iktibar untuk kita.

Semasa hayatnya, seawal 4.00 pagi dia dah sampai ke masjid dan amat menjaga solat waktu. Suka menolong dan ringan tulang. Selalu menunaikan hajat jemaah walaupun beliau tampak pendiam dan buat hal sendiri.

Berehatlah wahai Tuan Haji Azmi Md Thani. Banyak dah bakti tuan pada kami di Masjid Darul Muttaqin. Semoga Allah tempatkan roh Tuan haji bersama-sama orang-orang yang soleh.

Kami menunggu giliran dan mengharapkan kematian kami juga dengan pengakhiran yang baik. Amin.

FB Ibu Zarah

No comments:

Post a Comment