Monday, 26 December 2022

BERI PELUANG GOLONGAN MUDA BUKTIKAN KEMAMPUAN

 
Gerakan pembangunan ummah perlu diberi nafas baharu dengan nilai-nilai kontemporari melalui usaha yang lebih segar, lebih berstrategi, penuh berwawasan serta seiring dengan arus perubahan dan kemajuan yang kian pesat.
 
Sudah menjadi sunnah, yang lama perlu diperbaharui agar kehendak dan keperluan semasa dapat dipenuhi.
 
Sehubungan itu, golongan belia perlu diberikan kepercayaan berada di barisan hadapan, menyuntik dinamisme baharu, berperanan secara ketara sebagai pemangkin pembaharuan.
 
Kita perlu berani memberi tanggungjawab lebih besar kepada tenaga muda, agar berpeluang berperanan lebih aktif dan lebih efektif. Berikan mereka ruang dan peluang untuk  menterjemahkan idealisme kepada realiti yang lebih bersesuaian untuk mereka dan masa dedapn.
 
Golongan muda dahagakan pembaharuan, mempunyai daya pemikiran intelek dengan keupayaan  analitis, daya kritis, daya kreatif dan daya inovatif yang perlu dibuktikan secara praktikal.
 
Golongan muda juga mempunyai perspektif yang berbeza dalam menyelesaikan masalah dan menghadapi cabaran mendatang.
 
Segala macam sikap dan keupayaan golongan muda perlu dilihat dengan minda positif. Biarkan mereka buktikan apa yang difikirkan itu benar dan ada baiknya.
 
Golongan tua wajar menjadi pembimbing, dan bukannya penentu kepada apa yang perlu dilakukan oleh golongan muda.
 
Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam membimbing belia agar sentiasa taat kepada Allah, pemimpin, sayang kepada negara, berakhlak mulia, menjaga kesihatan akal, bersih jasmani dalam semua sudut yang membawa kepada kesempurnaan.
 
Rasulullah SAW telah meletakkan pemuda di kedudukan istimewa serta membimbing dan mencorakkan mereka agar bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.
 
Banyak pemuda berusia di bawah 30 tahun menjadi pengikut awal Nabi Muhammad dan berada di barisan hadapan, gigih memperjuangkan dakwah Islamiah, membawa panji-panji Islam, berperanan sebagai panglima untuk memimpin kaum Muslimin.

No comments:

Post a Comment