Monday, 9 July 2018

MANFAATKAN WAKTU MALAM DI RUMAH


Manfaatkan waktu malam di rumah. Waktu malam di luar rumah sebenarnya seram, ganas, melalaikan dan maksiat. Berada di luar rumah pada waktu larut malam mendedahkan kita kepada kejadian buruk. 

Allah menjadikan siang dan malam sebagai putaran alam berganti-ganti bagi membolehkan manusia mengatur hidup. Waktu siang membuka peluang untuk manusia melakukan tugas seharian mencari rezeki dan memenuhi keperluan lain. Manakala waktu malam adalah peluang untuk beristirahat.

Individu tidak bertanggungjawab telah menjadi malam sebagai masa mencari mangsa dan memuaskan kehendak nafsu. Tengah malam di bandar besar tidak ubah seperti siang hari dengan dicahayai sinaran lampu dan manusia masih berpusu-pusu dengan tujuan masing-masing. 

Untuk memenuhi permintaan banyak orang beraktiviti waktu malam terdapat kedai serbaneka, restoran, kedai runcit, stesen minyat dan sebagainya yang beroperasi 24 jam. Ini menggalakkan lagi orang menjadikan waktu malam untuk bersantai dan menjalankan aktiviti yang hanya mereka saja faham sebabnya.

Bagi mereka yang terpaksa mencari rezeki atau bertugas pada waktu malam seperti anggota keselamatan, jururawat, pekerja majlis bandaran dan pengawal keselamatan, berjaga malam memang menjadi kewajipan. Mereka melakukan tugas demi untuk keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan umum.   

Sebaliknya yang dimusykilkan ialah apakah perlunya kita bersantai dan berumbun sehingga lewat malam tanpa sebarang alasan. Banyak yang keluar rumah apabila waktu sudah melewati tengah malam semata-mata untuk menikmti teh tarik atau roti canai. Dah tu pula, kita mengambil masa yang panjang sehingga pukul tiga atau empat pagi baru pulang.

Amalan ini perlu diubah. Tidak elok berjaga malam kerana banyak kesan buruknya. Individu keluar malam dan balik lewat malam bererti tidak menghargai waktu malam yang disediakan oleh Allah untuk kita berehat di rumah. 

Waktu malam juga sebenarnya adalah masa terbaik untuk menghampirkan diri kepada Allah dengan melakukan ibadat sembayang, membaca al-Quran dan berzikir. Sembahyang sunat pada waktu malam dilakukan oleh mereka yang ingin meningkatkan ketakwaan. 

Sesiapa yang tidur dengan niat merehatkan badan bagi membolehkan meneruskan tanggungjawab sebagai hamba-Nya pada hari esok juga dikira membuat kebajikan.

Tidur awal dan mendapat rehat yang cukup membolehkan kita bangun awal dan berkerja dengan produktif pada sebelah siangnya. Allah suka kepada orang yang berkerja dengan gigih untuk mendapat rezeki yang halal.

Aktiviti lewat malam banyak melibatkan perkara buruk. Pusat hiburan, perjudian, pelacuran, kongsi gelap, menyamun, zina, rogol, penagihan dadah, minum arak dan lumba haram banyak berlaku pada waktu lewat malam. 

No comments:

Post a Comment