Wednesday, 3 March 2021

UMNO BANGKIT HASIL KESETIAAN AHLI AKAR UMBI

UMNO parti terbesar di Malaysia dengan keahlian lebih 3.5 juta ahli. Dari segi usia, UMNO ada parti tertua di negara kita jika diambil kira dari tarikh asal penubuhan pada tahun 1946. UMNO melalui gabungan Barisan Nasional (BN) menerajui kepimpinan negara selama 61 tahun sebelum kecundang pada 9 Mei 2018.

Rebahnya UMNO daripada menerajui negara bukan bermakna parti keramat orang Melayu itu telah musnah. UMNO masih teguh biarpun ada di kalangan pemimpinnya melompat parti untuk menyelamatkan diri sendiri atas sebab tertentu.

Hakikatnya, UMNO masih mendapat sokongan dan dokongan ahli di peringkat akar umbi. Ahli di peringkat Cawangan masih berdiri teguh. Mesyurat Tahunan Cawangan masih mampu diadakan mengikut bilangan yang ditetapkan oleh Pendaftar Pertubuhan.

UMNO kecundang dengan muslihat lawan yang cukup licik. Propaganda dilakukan musuh politik begitu berkesan sehingga pengundi keliru dan tertipu.

Pengalaman itu adalah sejarah yang mendewasakan dan sepatutnya mematangkan untuk UMNO bangkit membina kekuatan. UMNO bukan parti kecil. UMNO ada ahli akar umbi yang setia kepada pemimpin.

Kekalahan lalu banyak mengajar dan menginsafkan. Sokongan dan kepercayaan ahli kembali bertaut. UMNO perlu diperkasakan semula sebelum terlewat kerana musuh-musuh politik tidak habis-habis ingin melamahkan dan seterusnya menghapuskan UMNO.

Tindakan musuh-musuh politik yang berterusan menekan dan menyerang UMNO adalah bukti UMNO masih kuat dan perlu dihapuskan agar agenda dan niat mereka tercapai.

Memperkasakan UMNO bukan untuk ahli UMNO semata-mata. Ia adalah untuk seluruh rakyat Malaysia.

Selepas lebih tiga tahun berlalu, kini rakyat mempelajari apakah maknanya apabila UMNO/BN tidak lagi mengemudi pentadbiran negara. Rakyat menyedari tindakan menolak UMNO adalah satu kesilapan besar. Mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan.

Kebajikan rakyat, keadaan ekonomi, kedaulatan undang-undang, hubungan kaum, keluhuran Perlembagaan dan amalan demokrasi yang dibina kukuh sepanjang sejarah pemerintahan UMNO, kini satu demi satu runtuh dan lebur.

Rakyat perhati dan sedar perkara ini. Sebab itu, sudah banyak yang menzahirkan rasa kecewa denga prestasi kerajaan Perikatan Nasional (PN). Biarpun, kabinet PN turut disertai Ahli Parlimen UMNO/BN, hakikatnya kuasa sebenar berada pada mereka yang gagal sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Tidak keterlaluan jika dikatakan PN adalah PH 2.0. Sebab itu, gaya pemerintahan PH masih subur dalam PN dengan sedikit pencapaian lebih baik hasil sumbangan menteri dari UMNO/BN.

Kecemerlangan menteri dari UMNO diketuai Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri  Dr Adham Baba dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mereka ada wira yang berjuang dan memberi sumbangan besar dari memerangi COVID-19.

Ismail Sabri selaku Naib Presiden UMNO bijak membahagikan masa dan tumpuan antara tugas sebagai pemimpin parti dan negara. Pengalaman dan keikhlasan menjadi nadi kepada kejayaan melaksanakan tugas.

No comments:

Post a Comment