Friday, 5 March 2021

KENAPA TAKUT ADAKAN SIDANG PARLIMEN?

Jemaah Menteri bersetuju sidang Parlimen ditangguhkan hingga 1 Ogos depan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha melawan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata keputusan penangguhan itu dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan di dalam bangunan Parlimen.

Menurut Takiyuddin, ketika darurat, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh buat ordinan. Baginda boleh gubal undang-undang. Keperluan Parlimen bersidang untuk buat undang-undang tidak ada.

Memang betul ketika ini tiada keperuan untuk gubal undang-undang. Ketika Darurat Yang di-Pertuan Agong boleh buah ordinan.

Hakikatnya, sidang Parlimen bukan hanya untuk gubal undang-undang. Hal-hal pentadbiran negara, termasuk berkaitan COVID-19 pun perlu dibincangkan di Parlimen. Ini satu urusan penting negara.

Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Perkara itu termaktub dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahu pun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip berkenaan.

Kalau alasan parlimen tidak boleh bersidang kerana sebahagian Ahli Parlimen kita adalah kumpulan berisiko, mengapa pula mereka sentiasa dilihat hadir dalam program lain yang mendedahkan mereka kepada resiko COVID-19.

Mengapa mesyuarat parti tetap diadakan melibatkan Ahli Parlimen. Bahkan, sebelum ini ada kalangan menteri dijangkiti COVID-19 hasil hubungan rapat ketika hadir mesyuarat parti.

Adakah mesyuarat parti lebih penting daripada sidang Parlimen? Atau, adakah perasmian jentera pilihan raya parti lebih penting daripada sidang Parlimen?

Kalau selama ini kerajaan Perikatan Nasional (PN) yakin masih mendapat sokongan majoriti di Parlimen, mengapa pula perlu takut mengadakan sidang Parlimen?

 

No comments:

Post a Comment