Saturday, 6 March 2021

ISMAIL SABRI LAWAT UPNM

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melaksanakan lawatan ulung ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Ismail Sabri bersama delegasi telah diberikan taklimat mengenai peranan dan aktiviti utama universiti serta perhubungan strategik UPNM dengan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Ahmad Mujahid bin Ahmad Zaidi, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPNM.

“Saya telah melihat dengan lebih dekat keunikan UPNM yang berfokuskan bidang akademik dan pertahanan. Wajarlah UPNM diangkat sebagai satu-satunya universiti pertahanan primier di Malaysia,” kata Ismail Sabri.

Dalam majlis yang sama juga, Ismail Sabri menyampaikan sumbangan komputer riba dan kewangan daripada UPNM kepada 20 orang pelajar yang terdiri daripada golongan B40.

Umum mengetahui bahawa, UPNM memainkan peranan yang cukup besar dalam pendidikan bagi melahirkan bakal pegawai tentera yang akan menyertai ATM malah ia berfungsi untuk meningkatkan profesionalisma pegawai-pegawai ATM yang sedang berkhidmat melalui program-program akademik pasca siswazah dan eksekutif.

Selain itu, ia juga turut membuka peluang kepada anggota lain-lain pangkat ATM untuk melanjutkan pengajian dan program-program di peringkat Diploma yang sedang dijalankan.

Sebagai rekod, UPNM juga merupakan rakan strategik akademik kepada institusi ketenteraan seperti Maktab Ketahanan Nasional (MKN) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT)

Untuk makluman, UPNM bukan berada di bawah Kementerian Pertahanan. Sebaliknya, status UPNM adalah sama seperti universiti-universiti awam lain yang berada di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

UPNM mengambil 2 kategori pelajar iaitu Pegawai Kadet dan Pelajar Awam. Pegawai Kadet ditaja sepenuhnya oleh Kementerian Pertahanan diberi elaun dan lain-lain bantuan seperti pakaian, makan dan minum. Namun Pegawai Kadet tertakluk kepada Akta Angkatan Tentera 1972 serta perlu menjalani Latihan Ketenteraan semasa mengikuti pengajian di UPNM.

Manakala sebagai Pelajar Awam, pelajar akan ditanggung oleh PTPTN (dengan syarat perlu memohon) ataupun penaja kewangan lain seperti MARA, JPA, Kerajaan Negeri dan sebagainya tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh badan pembiaya tersebut. Pelajar Awam tidak menjalani Latihan Ketenteraan tetapi perlu mematuhi kehidupan berdisiplin semasa berada di UPNM.

No comments:

Post a Comment