Lahirnya UMNO adalah hasil dari percantuman
pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan berbagai aliran falsafah dan pendapat
tetapi bersetuju mengambil tindakan bersama untuk kelangsungan kekuatan bangsa
Melayu.
Berhadapan dengan rancangan Malayan Union yang dibawa oleh
British selepas Perang Dunia Kedua, pertubuhan-pertubuhan ini dengan
sukarelanya membubar diri masing-masing demi membuka jalan kepada sebuah parti
politik yang ulung sebagai pernyataan hasrat semua golongan dan lapisan
masyarakat Melayu bagi memperjuangkan hak-hak mereka.
Di bawah rancangan British, dasar pro-Melayu sebelum perang
akan dirombak sekaligus, dan orang-orang Melayu sebagai penduduk asal negara
ini terpaksa bersaing dengan orang-orang mendatang.
Rancangan itu suatu kejadian yang tidak diduga sama sekali
oleh orang-orang Melayu kerana sepanjang penjajahan British mereka diberi
perlindungan dari ancaman golongan-golongan tadi di samping jaminan bahawa ini
adalah negeri Melayu yang diperintah bagi pihak Raja-raja Melayu.
Rancangan Malayan Union yang dipaksakan ke atas orang-orang
Melayu tanpa sebarang rundingan adalah amat menggemparkan. Jika sebelum ini
orang-orang Melayu berpecah-pecah dengan berbagai sentimen kenegerian dan
pemandangan yang sempit, sekarang mereka yang mula melihat realiti di depan
mereka, telah bangkit menentang rancangan itu.
Kebangkitan ini merupakan reaksi yang spontan dengan
orang-orang Melayu bersatu hati dan tenaga agar kedudukan mereka terpelihara.
UMNO ditubuhkan secara rasmi pada 11 Mei 1946 di Istana
Besar Johor, Johor Bahru. Penubuhan ini berlaku semasa Kongres Melayu Se-Malaya
ketiga yang diadakan di istana tersebut.
Datuk Onn bin Jaafar telah dipilih sebagai pemimpinnya yang
pertama. Penubuhan UMNO dapat dikatakan sebagai mengelak orang-orang Melayu di
Tanah Melayu daripada tenggelam di bawah satu perkembangan politik dan ekonomi
yang begitu deras dan menguntungkan golongan-golongan lain yang lebih maju.
Nasionalisme Melayu sebelumnya agak malap kerana wujudnya
penduduk berbilang kaum sebagai faktor penghalang, penekanan oleh penjajah, kemungkinan
masyarakat Melayu untuk berpecah-belah mengikut negeri, ketiadaan kesedaran
politik yang meluas serta terdapat kemakmuran ekonomi yang membolehkan
kehidupan sederhana kepada sebilangan besar rakyat.
Semangat kebangsaan Melayu yang baru meletus secara meluas
itu perlu untuk menjaga keutuhan masyarakat yang sejak beberapa lama merupakan
penduduk asal kepada kawasan ini. Seluruh penentuan hidup di negara ini
sekarang ada hubungan langsung atau tidak langsung dengan nasionalisme Melayu.

No comments:
Post a Comment