Kaabah rumah ibadah pertama
manusia di dunia. Pelbagai pendapat
berkaitan siapa mula-mula membina Kaabah. Ada ulama sejarah mencatatkan yang
pertama membina Kaabah ialah malaikat. Seterusnya
disebut Nabi Adam turut dikatakan membina Kaabah. Binaan ketiga pula oleh Shith
iaitu selepas hilangnya kesan binaan Adam.
Generasi seterusnya sentiasa memakmurkan rumah itu sehinggalah ia musnah dalam banjir
yang berlaku pada zaman Nabi Nuh. Apabila tiba zaman Nabi Ibrahim, Allah telah memerintahkan baginda
supaya membina semula rumah itu.
Tidak terdapat dalil yang sahih tentang
tiga peringkat binaan awal ini. Kata Syeikh Husain Ba Salamah telah datang beberapa
riwayat daripada sahabat dan tabin tentang binaan Kaabah oleh malaikat, Adam
dan Shith. Semuanya menyebut tentang peristiwa yang berlaku tanpa menyatakn
sumber riwayat tersebut sama ada ia daripada Nabi atau Bani Israil (ahli
kitab).
Sumber
jelas mengenai pembinaan Kaabah seperti dicatatkan dalam al-Quran dan hadis
ialah dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.
Binaan Nabi Ibrahim bersama
anaknya Ismail telah diceritakan oleh Allah dalam al-Quran dan terdapat banyak
riwayat yang sahih dalam kitab-kitab hadis mengenainya.
Antaranya ialah Firman Allah
SWT yang bermaksud: "Dan
ingatlah, ketika Nabi Ibrahim meninggikan (membina) asas-asas Baitullah bersama
Ismail (seraya berdoa): “Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan
kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah, ayat 127)
Firman Allah yang bermaksud: "Dan ingatlah, ketika Kami (Allah)
menyediakan kepada Ibrahim tempat Baitullah (dengan mengatakan) janganlah
engkau mempersekutukan Aku dengan sesuatu pun dan sucikanlah RumahKu ini untuk
orang yang tawaf dan orang yang beribadat dan orang yang rukuk dan sujud. (Surah al-Baqarah, ayat 125)
No comments:
Post a Comment