Saturday, 13 May 2023

BERSEDERHANA JIMAT URUS KEWANGAN KELUARGA

 
Pengurusan kewangan rumah tangga secara bijak penting untuk menjamin kehidupan yang sejahtera. Amalan berjimat, berhemah dan bersederhana dalam perbelanjaan merupakan langkah bijak ke arah itu. Banyak kebaikan diperoleh dengan mengamalkan ketiga-tiga cara tersebut.
 
Berjimat. Mengamalkan sifat jimat cermat dalam menjalani kehidupan dapat menjamin kehidupan yang berkualiti secara berterusan. Islam menggalakkan agar yang baik berterusan dilakukan atau dinikmati, dan bukannya hanya pada ketika tertentu sahaja.   
 
Untuk mengamalkan sikap berjimat cermat harus ada perasaan bersyukur dengan rezeki diperoleh. Orang yang bersyukur sentiasa menghargai apa diperolehnya dan menggunakan dengan cara berjimat. 
 
Berlebih-lebihan biasanya mengundang banyak masalah. Berbelanja secara tanpa mengambil kira keperluan sebenar menyebabkan banyak sumber dibazirkan yang sepatutnya dapat digunakan pada masa lain. 
 
Berhemah. Rezeki yang dikurniakan Allah tidak dalam jumlah yang sama. Adakala jumlah yang diperoleh berlipat ganda berbanding biasa. Sedangkan pada masa lain mungkin kerugian yang ditanggung.
 
Oleh itu, sifat berhemah dalam menguruskan rezeki yang diperoleh perlu diutamakan. Ketika memperoleh pendapatan lebih tidak pula bermakna turut melebihkan perbelanjaan. Sebaliknya amalan menabung adalah langkah bijak sebagai persiapan kegunaan masa hadapan.
 
Sabda Rasulullah bermaksud: “Simpanlah sebahagian daripada harta kamu untuk kebaikan masa depan kamu, kerana itu jauh lebih baik bagimu.” (Hadis riwayat Bukhari).
 
Menyimpan sebahagian daripada rezeki yang diperoleh adalah untuk menghadapi kemungkinan kekurangan pendapatan pada masa hadapan. Wang yang disimpan dapat digunakan untuk memenuhi keperluan tertentu dan terdesak tiada sumber kewangan lain.
 
Bersederhana. Islam mengajar umatnya agar mengamalkan sikap bersederhana. Sikap terlalu kedekut dan terlalu boros ditegah dalam Islam. Golongan itu mendapat kerugian di dunia dan menanggung penyesalan di akhirat.
 
Larangan sikap terlalu kedekut dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “Dan janganlah engkau jadikan tanganmu menggenggam (terlalu kedekut dan tidak mahu bersedekah) dan jangan terlalu memberi sehabis-habisnya, nanti engkau jadi tercela dan menyesal.” (Surah al-Isra, ayat 29).
 
Sikap kedekut dan teramat sayangkan harta menyebabkan hidup lebih tertekan dan mendatangkan masalah. Orang kedekut teramat sayang harta yang dimilik hinggakan tidak ingin berbelanja walaupun untuk diri sendiri. Sikap kedekut adalah penjara yang menghalang pemilik harta daripada menikmati apa yang sepatutnya.
 
Manakala tegahan berbelanja dengan berlebih-lebihan pula dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta) mereka tidak berlebih-lebihan." (Surah al-Furqan, ayat 67).
 
Tegahan melakukan perbuatan membazir banyak disebut dalam al-Quran dan hadis. Tegahan yang dinyatakan berulang-ulang itu memberi amaran betapa buruknya perbuatan itu. Islam mementingkan kehidupan berkualiti yang berterusan.
 
Syaitan sentiasa memperdaya manusia agar melakukan perbuatan buruk agar manusia menanggung kerugian. Syaitan sentiasa membisikan perasaan melampau, sama ada terlampau boros atau terlampau kedekut. 
 
Sebenarnya, rezeki yang diperoleh adalah satu ujian daripada Allah dalam menentukan sama ada bersyukur dan digunakan ke arah kebaikan atau sebaliknya. Orang bersyukur menghargai rezeki diperoleh dan berusaha memanfaatkan untuk kebaikan diri sendiri, keluarga dan dibelanjakan ke jalan Allah.
 
Dalam keadaan ekonomi terbuka yang terpengaruh kadar turun baik yang tidak menentu, setiap sen yang dibelanjakan perlu difikirkan apakah manfaat yang diperoleh. Kita perlu melihat lebih jauh ke hadapan apakah akan terjadi jika keadaan ekonomi mengalami kegawatan.
 
Persiapan awal mengelak daripada terperangkap kemelut ekonomi yang bukan saja dialami oleh golongan miskin, bahkan ramai orang kaya terpaksa berdepan dengan kebankrapan. Jika tidak bijak mengurus perbelanjaan, jumlah wang yang banyak boleh lesap dalam masa yang singkat.
 
Sikap berbelanja boros turut mendatangkan keburukan kepada negara. Permintaan yang lebih tinggi daripada penawaran akan mangakibatkan inflasi. Keadaan inflasi yang terlalu tinggi boleh menyebabkan negara muflis dan kesejahteraan hidup rakyat tidak terbela.
 
Dalam sistem ekonomi pasaran bebas, keseimbangan penawaran dan permintaan amat penting bagi menjamin persekitaran ekonomi yang sihat. Aspek kesederhanaan yang ditetapkan dalam Islam adalah mekanisma terbaik untuk mengawal keseimbangan ekonomi.
 
Suami sebagai ketua keluarga perlu bijak mengawal ekonomi keluarga. Menjadi tanggungjawab suami menyediakan keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan, pakaian dan keperluan lain mengikut kemampuan.
 
Rasulullah menunjukkan contoh yang baik di mana baginda sentiasa melihat jauh ke hadapan bagi memastikan keperluan keluarga tidak terjejas. Diriwayatkan Rasulullah pernah membeli kurma yang genap untuk bekalan setahun bagi keluarganya.
 
Namun, ketika mana kurma itu diperlukan untuk disedekahkan kepada orang miskin yang memerlukan makanan, Rasulullah lebih mengutamakan sedekah. Keperluan semasa lebih diutamakan, sedangkan keperluan masa depan boleh diusahakan untuk memenuhinya.  
 
Sesungguhnya sesiapa mempunyai kemampuan untuk membantu orang lain yang memerlukan bantuan, maka wajib baginya menghulurkan bantuan itu. Bagaimanapun, bantuan itu tidak pula sehingga mendatangkan beban dan masalah kepada diri dan keluarga sendiri.
 
Firman Allah dalam surah al-Isra, ayat 26 bermaksud: “Dan berilah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing.”
 
Biarpun Islam menuntut umatnya mengamalkan sikap berjimat cermat, tetapi tidaklah pula bermakna sehingga tidak membelanjakan langsung rezeki diperoleh. Rezeki yang dianugerah Allah perlu digunakan dan dengan itu akan melahirkan rasa bersyukur, serta mendapat manfaatnya. 
 
Sesiapa tidak membelanjakan apa yang diperoleh tidak akan mendapat apa-apa kebaikan daripada harta itu. Apabila meninggal dunia, harta yang disimpan dan disayang akan menjadi habuan orang lain. Harta kekayaan tidak dibawa ke alam kubur. Untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat, harta perlu dibelanjakan ke jalan yang diredai Allah.
 
Sesiapa menggunakan rezeki kepada tujuan kebaikan dan bersyukur dengan rezeki diperoleh, maka Allah menambahkan lagi rahmat-Nya. Rezeki tidak hanya semata-mata dalam bentuk harta dan kekayaan, tetapi mungkin juga dalam bentuk keberkatan dan kegembiraan.
 

No comments:

Post a Comment