Friday, 14 February 2025

SEJARAH HUBUNGAN PAHANG – JOHOR – RIAU

 
Dengan bantuan Potugis, Sultan Alaudin Riayat Shah III (1597 - 1615) dari Johor telah menabalkan anaknya iaitu Raja Bujang (1615-1617) sebagai Raja Pahang. Dengan itu Pahang dikatakan berada dalam wilayah Johor. 

Penabalan Raja Bujang telah menyebabkan Sultan Pahang yang asal, Sultan Alauddin Riayat Shah (1614-1615) kehilangan hak untuk mentadbir Pahang. Namun, baginda tetap menjalankan pentadbiran Pahang dari tempat pengasingan.

Sultan Iskandar Muda Acheh sangat marah apabila mengetahui Sultan Alaudin Riayat Shah III menandatangani perjanjian perdamaian dengan Portugis walhal Sultan Johor itu baharu pulang dari Acheh berbincang mengenai cara menyerang Portugis di Melaka.

Oleh itu, Acheh telah menyediakan satu angkatan perang menyerang Batu Sawar pada tahun 1615 Masihi dan berjaya menawan Sultan Alaudin Riayat Shah III. Baginda telah dibawa ke Acheh dan dibunuh. Pemerintahan Johor seterusnya dipegang Sultan Abdullah Ma’ayat Shah.

Pada tahun 1618 pula, Acheh telah bertindak menyerang Pahang. Tujuan utama serangan adalah untuk mengusir Raja Bujang yang pro-Portugis. 

Acheh bimbang jika Raja Bujang akan menjadi penghalang kepadanya untuk mengalahkan Portugis di Melaka. Bagaimanapun, Raja Bujang berjaya lari ke Lingga dan terus tinggal di sana.

Walaupun begitu, bekas Sultan Pahang iaitu Sultan Ahmad Shah II (1590-1592) dan anaknya Raja Mughal berjaya ditawan oleh Acheh dan dibawa ke sana.

Selepas kemangkatan Sultan Iskandar Muda Acheh, maka Raja Mughal telah menggantikan baginda untuk menjadi pentadbir Acheh yang baharu. Baginda telah memakai gelaran Sultan Iskandar Thani.

Semasa pemerintahan Sultan Iskandar Thani, baginda telah menganggap Pahang sebahagian daripada jajahan Acheh kerana ayah baginda iaitu Sultan Ahmad Shah II pernah menjadi Sultan Pahang selama 2 tahun sebelum digulingkan oleh Sultan Abdul Ghafur Muhiuddin Shah (1592-1614).

Namun Raja Bujang turut menuntut Pahang kerana baginda juga pernah menjadi Sultan Pahang sebelum terpaksa melarikan diri akibat diserang tentera Acheh. 

Oleh itu, berlaku konflik berpanjangan antara Johor-Acheh untuk berkuasa di Pahang bahkan dengan bantuan daripada Portugis, Johor pernah bertindak menyerang Pahang.

Selepas kemangkatan Sultan Iskandar Thani, permaisurinya yang bernama Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Syah (1641M-1657M) telah mengambil alih pemerintahan Acheh.

Pada waktu ini Acheh menjadi semakin lemah dan Johor telah menggunakan hujah adat Pahang, yang mana si isteri tidak boleh mewarisi hak suaminya dalam pemerintahan. Oleh itu, Acheh terpaksa melepaskan haknya ke atas Pahang. Mulai itu, Pahang telah menjadi sebahagian daripada Empayar Johor-Pahang-Riau.

Namun begitu, hanya semasa pemerintahan sultan ke-15 Johor iaitu Sultan Mahmud Shah III (1761M-1812M), Pahang diserahkan kepada Bendahara Johor iaitu Bendahara Tun Abdul Majid sebagai kawasan pegangan. Namun jika diteliti, Pahang bukanlah kawasan pegangan semata-mata tetapi lebih kepada sebuah negeri yang diberikan kepada Bendahara untuk menjadi pentadbir atau Raja.

Maka dari situlah gelaran Raja Bendahara mula digunakan. Bendahara Johor pada waktu itu ialah bendahara kepada seluruh empayar Johor namun dalam masa yang sama baginda juga merupakan seorang Raja jika di Pahang.

Penyerahan Pahang kepada Bendahara ini sebenarnya sebagai langkah mengambil hati kerana pada waktu itu berlaku pertembungan hebat antara Bugis-Melayu dalam istana Johor.

Pada tahun 1853, Pahang telah mengisytiharkan autonomi daripada Johor dan pada tahun 1881, Pahang telah berdiri sebagai negeri sendiri selepas Raja Bendahara Siwa Raja Tun Ahmad telah mengangkat dirinya sebagai Sultan Pahang yang pertama dalam era moden.

Sumber – Internet.

Gambar lama tanpa kapsyen.

No comments:

Post a Comment