Sunday, 23 February 2025

SEBAB FAYHSAL KALAH

 
Kegagalan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam pemilihan bagi merebut jawatan Ketua Bahagian Bersatu Machang pada 22 Feb 2025 mencetuskan pelbagai andaian. 

Ada pihak mendakwa kekalahan Fayhsal kepada Kamaruddin Ab Kadir, yang juga penyandang adalah angkara diboikot oleh pemimpin parti sendiri. Tidak kurang juga berpendapat bahawa itu bererti penolakan ahli di peringkat akar umbi kepada Fayhsal disebabkan kegagalan dan sikap yang ditunjukkan di peringkat pusat.
 
Fayhsal yang juga Ahli Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu hanya mendapat 26 undi berbanding Kamarudin yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Din mendapat 103 undi, satu angka yang cukup menggambarkan kekalahan teruk.
 
Pemilihan bahagian ini berlangsung di luar musim. kerana Machang tidak mengadakan mesyuarat pada akhir tahun 2024 selepas berdepan dengan penggantungan kerana ada beberapa perkara yang tidak menepati syarat. Pemilihan ini untuk tempoh 2024-2027, sama seperti bahagian lain seluruh negara.
 
Fayhsal pernah menyandang jawatan Ketua Bersatu Bahagian Titiwangsa pada pemilihan 2020 untuk tempoh 2020-2024. Pada 20 Ogos tahun yang sama beliau dipilih Ketua Armada Bersatu (sayap pemuda).
 
Kegagalan Fayhsal menjadi tanda tanya sama dia akan dipilih kembali mempertahan kerusi Parlimen Machang pada PRU akan datang, atau diserahkan kepada calon lain, dan beliau perlu mencari kawasan lain.
 
Pemilihan Fayhsal menjadi calon Parlimen Machang pada PRU-15 diputuskan pada saat akhir sebagai penghormatan selaku Ketua Armada. Sebelum itu beliau ada dicadangkan untuk bertanding di beberapa kawasan parlimen lain.
 
Jadi, ada kemungkinan juga beliau akan dicadangkan bertanding di kawasan parlimen lain pada PRU Ke-16 nanti.
 

No comments:

Post a Comment