Bukan
Islam atau kafir dibolehkan masuk atau berada di dalam masjid jika bertujuan
baik. Bukan Islam harus dibenarkan untuk melihat keindahan masjid, menyertai
aktiviti tertentu bersama orang Islam, urusan kemasyarakatan dan sebagainya.
Ketika
berada di dalam masjid, mereka perlu mengetahui adat-adat atau peraturan yang
sepatutnya dipatuhi. Hal ini sebenarnya bukan sahaja perlu dipatuhi oleh bukan
Islam, bahkan orang Islam sendiri.
Kemuliaan dan kedudukan masjid sebagai rumah Allah perlu dijaga. Masjid adalah
tempat paling mulia di atas muka bumi ini. Maka itu ia tidak boleh dicemari
dengan apa saja perbuatan yang ditegah oleh agama.
Majoriti ulama berpegang sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari
dalam memutuskan bahawa harus bagi bukan Islam dibenarkan memasuki masjid.
Hadis itu mencerita mengenai sekumpulan tentera Islam yang baharu kembali dari
medan perang Nejad membawa seorang tawanan perang bernama Tsumamah Utsaal dari
Bani Hanifah yang ketika itu belum beragama Islam. Tsumamah diikat di
salah satu tiang di dalam sebuah masjid.
Kemudian Rasulullah SAW menuju kepada tawanan itu seraya bersabda “lepaskanlah
Tsumamah”. Kemudian Tsumamah berangkat menuju ke kebun kurma berdekatan masjid
dan mandi. Selepas itu Tsumamah masuk semula ke dalam masjid sambil melafazkan
kalimah dua syahadah menjadi seorang muslim.
Berdasarkan hadis ini, nyata bahawa jika tindakan membawa seseorang bukan Islam
ke dalam masjid menjadi satu kesalahan tentu sekali Rasulullah SAW akan menegur
tindakan sahabat membawa masuk bukan Islam ke dalam masjid itu.
No comments:
Post a Comment