Friday 30 April 2021

UGUT AHLI POLITIK JUGA SATU RASUAH

Tiga hari sebelum melepaskan jawatan, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador mengeluh berkaitan campur tangan politik oleh Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dalam pasukannya.

Malah, beliau mengakui tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Hamzah kerana mendakwa menteri itu telah mula campur tangan sejak mula dilantik selepas pertukaran kerajaan.

Hamid berkata, perkara itu telah pun disampaikan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau juga membangkitkan kelemahan Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) yang menurutnya tiada pejabat dan bermesyuarat hanya empat kali setahun.

Belaiu mencadangkan supaya SPP tidak lagi dipengerusikan menteri, sebaliknya individu tidak berpihak seperti bekas ketua hakim atau hakim dilantik menduduki jawatan itu.

Abdul Hamid menegaskan menteri sebagai Pengerusi SPP, juga tidak sepatutnya campur tangan dalam pengurusan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, menteri sepatutnya menumpukan perkara berkaitan dasar, bukan terbabit dalam urusan pertukaran pegawai.

Tambahnya, SPP amat penting dan tidak boleh bermesyuarat selama satu dua jam sahaja kerana berpuluh-puluh kes tatatertib masih tergantung.

Abdul Hamid berkata, ia bukan semata-mata soal kuasa, sebaliknya perkara itu perlu untuk KPN menentukan siapa yang boleh dilantik kerana berada bersama-sama pasukan polis setiap hari, berbanding menteri yang bertanggungjawab kepada banyak agensi dan jabatan.

Katanya, SPP hanya bermesyuarat empat kali setahun dan tidak memiliki sebarang pejabat, sekali gus menunjukkan kedudukannya.

SPP amat penting kepada PDRM kerana sekurang-kurangnya sekali sebulan mesti bermesyuarat. Ia menentukan kepentingan dan kebajikan 129,000 anggota.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat amalan melompat parti yang berlaku secara berleluasa.

Katanya, rasuah berlaku merata-rata dan perbuatan mengugut itu rasuah namanya. Saya minta SPRM masuk, ambil tindakan dan jangan takut. Sudah lama rakyat tengok perbuatan itu, muak terhadap sekejap katak lompat sana-sini.

Menurutnya, ia memberikan gambaran tidak baik seolah-olah negara ini tidak ada undang-undang dan sesiapa pun boleh melakukan (apa sahaja) untuk membeli (ahli politik).

Tegasnya, SPRM jangan siasat PDRM sahaja, sebaliknya perlu menyiasat ahli politik. Kembalikan budaya politik yang sihat untuk negara kita.

Ketika ditanya mengenai rakaman audio yang tular perbualan telefon Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkaitan pelantikan pegawai kanan polis, Abdul Hamid berkata, beliau tidak ada kena-mengena.

Sambil menyifatkan perkara itu sebagai bahaya, Hamid berkata, teknologi semasa membolehkan perkara itu menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment