Sesungguhnya, judi itu wujud dalam pelbagai
bentuk. Perjudian tidak hanya apabila bermain daun terup, membeli nombor ekor
atau aktiviti pertaruhan di kasino.
Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, definisi
judi diertikan sebagai: “permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai
taruhan”.
Definisi ini tidak jauh dengan makna
pertaruhan (qimar), seperti yang ditakrif oleh Imam al-Jurjani sebagai: “Setiap
permainan yang mensyaratkan peserta yang kalah memberikan sesuatu (seperti
duit) kepada peserta yang menang.
Perbuatan ini dilarang di dalam al-Quran.
Allah SWT berfirman: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak
dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa
manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. (Surah al-Baqarah, ayat 219)
Imam al-Tabari dalam tafsirnya ayat ini
menyatakan orang yang bertaruh juga dipanggil orang yang berjudi.
Sekarang ini satu aktiviti judi yang
semakin merebak ialah kejohanan sepakan penalti. Memang, bukan semua kejohanan
itu haram atau judi.
Sesuatu kejohanan itu akan dianggap sebagai
judi jika yuran penyertaan itu dijadikan sebagai wang kemenangan.
Sekarang ini banyak kejohanan sepakan penalti
menyediakan hadiah sehingga RM10000 untuk johan. Di mana wang hadiah itu
diambil? Ia dikumpul daripada yuran penyertaan. Untuk menyertai pertandingan,
pasukan perlu membayar yuran penyertaan sehingga melebihi RM100.
Bayaran yuran yang mahal bertujuan untuk
membesarkan hadiah. Apabila besar hadiah, maka ia akan menarik lebih banyak
penyertaan. Maka, itulah perjudian sebenarnya.
Kesatuan Fikah Sedunia dalam sidangnya ke
14 pada 11 hingga 16 Jan 2003 telah memutuskan bahawa semua permainan dan
pertandingan yang hadiahnya diambil dari hasil kumpulan wang penyertaan
peserta, hukumnya adalah haram hadiah tersebut. Ini kerana ia mengandungi unsur judi dan gharar atau ketidaktentuan.
Mengambil atau mengenakan yuran penyertaan
adalah tidak salah atau harus. Yuran itu digunakan untuk pengurusan, sewa
padang, bayaran pengadil dan lain-lain.
Gambar - Sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment