Tidak wajar bagi seorang agamawan atau
ilmuan agama memberi pandangan yang mengharuskan agama Islam diperalatkan oleh
mana-mana parti politik bagi mendapat kuasa memerintah.
Hakikat yang mesti difahami semua ialah
Islam sebagai agama yang diwahyukan Allah SWT lebih besar dan unggul daripada
mana-mana organisasi politik yang ditubuhkan oleh manusia.
Justeru sifat agama Islam itu adalah sakral
(suci), manakala parti politik tidak sakral atau terpelihara daripada
kekurangan, kelemahan dan kesilapan.
Mesti juga difahami bahawa tujuan Islam di
dalam politik bukan semata-mata untuk menguasai tampuk pemerintahan, tetapi
bertujuan menegakkan prinsip unggul dikehendaki syariah iaitu kebebasan,
keadilan, kebajikan untuk rakyat, membasmi kemiskinan, memerangi rasuah dan
seumpamanya.
Ajaran Islam menyediakan arahan, bimbingan
dan kaedah tersendiri supaya dilaksana bagi mencapai matlamat menegakkan negara
contoh yang didambakan atau 'Baldatun tayyibatun wa Rabbun Ghafur' iaitu sebuah
negara yang baik, aman, makmur serta mendapat keampunan Tuhan.
Sifat agama Allah SWT yang sempurna dan
mencakupi segala aspek tidak bererti memberi lesen kepada mana-mana pihak
menunggang agama kerana ingin mencapai matlamat yang dicita-citakan.
Seharusnya rakyat tidak menjadikan agama
sebagai polemik dan perbalahan politik perlu diambil perhatian serta dipatuhi
semua pihak terutamanya pemimpin politik.
Agenda retorik perpecahan yang dicipta
dengan alasan tuntutan agama adalah satu perkara yang menyalahi ajaran Islam.
Sepatutnya, pemimpin Islam menjadi contoh menyeru rakyat agar bersatu hati
untuk mengemudi negara ke arah pembentukan masa hadapan lebih baik.
Pilihan raya bukanlah peperangan atau
jihad. Hukum, situasi dan fiqhnya berbeza. Jangan sesekali menyalah gunakan
hadis Nabi SAW bahawa peperangan itu satu tipu daya untuk menipu, memfitnah dan
berbohong dalam pilihan raya.
Sedarlah, musuh politik bukanlah musuh
Islam, sesiapa yang tidak mengundi sesuatu parti yang mendakwa memperjuangkan
Islam tidaklah berdosa kerana Islam ialah agama Allah dan parti politik adalah dicipta
oleh manusia.
Maka tidak wajib sokong sesebuah parti dan
sesiapa yang mewajibkan sokong sesebuah parti adalah berdosa dan berdusta atas
agama Allah SWT.
Sebagai insan yang diberikan akal dan
maklumat jelas mengenai politik, sokonglah apa jua parti yang terbaik untuk
rakyat dan negara. Menegakkan Islam ialah wajib, tetapi bukan hanya satu parti
sahaja yang layak dikatakan yang menegakkan Islam.
Islam dan takwa itu letaknya pada amalan
individu bukan pada parti atau negeri mana dia berasal. Pilih parti, calon
pilihan raya berdasarkan kelayakan, kebolehan dan kemampuan untuk memimpin
negara. Jadikan agama sebagai panduan bukan tunggangan.
No comments:
Post a Comment